PGA rampas 625kg beras seludup dari Thailand

Puluhan kampit beras yang memenuhi ruang tempat duduk belakang dan but kereta sedan yang dirampas PGA di Pasir Mas/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 28 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 625 kilogram (kg) beras bernilai RM2,500 disyaki diseludup dari Thailand di Kampung Kolam, Gelang Mas, Pasir Mas pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan melibatkan 26 kampit beras, masing-masing 25 kg, dan sebuah kereta sedan putih.
  • Anggota PGA mengesan dua lelaki memunggah guni dari perahu ke dalam kereta semasa rondaan bermotosikal.
  • Kedua-dua lelaki melarikan diri ke arah Thailand dengan terjun semula ke perahu selepas menyedari kehadiran anggota.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994; semua rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa negeri.

Rampasan kira-kira pukul 10 pagi itu membabitkan 26 kampit beras masing-masing seberat 25 kg bersama sebuah kereta sedan berwarna putih.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan ketika anggota menjalankan rondaan bermotosikal di kawasan Jeram Perdah.

“Anggota mengesan dua lelaki sedang memunggah guni putih dari sebuah perahu ke dalam kereta sedan berwarna putih.

“Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri ke arah Thailand dengan terjun ke dalam perahu sebaik menyedari kehadiran anggota,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pemeriksaan lanjut mendapati kereta berkenaan mengandungi beras yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan tidak diwartakan.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta yang disita dianggarkan bernilai RM12,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Semua rampasan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.