BAM teliti semula kombinasi beregu lelaki, pemain perlu bersedia format 15 mata

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober — Jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi, akan menilai keserasian gandingan Wan Arif Wan Junaidi Mohd Haikal Nazri dan pemain lain menerusi beberapa kejohanan sebelum membuat keputusan mengenai potensi pasangan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan akan digunakan untuk menilai keserasian pasangan, bukan hanya berdasarkan prestasi latihan.
  • Penilaian perlu dibuat selepas beberapa kejohanan, melihat prestasi dalam dua, tiga atau lima pertandingan.
  • Pemilihan pasangan bergantung pada peranan di gelanggang; ambil kira corak permainan, karakter dan penguasaan hadapan atau belakang.
  • Pemain perlu bersedia menyesuaikan diri dengan format pemarkahan 15 mata bermula Januari, termasuk pendekatan taktikal berbeza.

Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Kebangsaan Malaysia (Persatuan Badminton Malaysia, BAM), Herry Iman Pierngadi berkata, percubaan menggabungkan semula kedua-dua pemain berpengalaman itu merupakan sebahagian daripada proses penilaian bagi mengenal pasti kombinasi terbaik dalam skuad beregu lelaki negara.

Menurutnya, Arif dan Haikal dijadualkan bagi menjalani percubaan dalam tiga kejohanan, bermula dengan kejohanan di India, sebelum prestasi serta keserasian mereka dinilai secara menyeluruh.

Beliau berkata, penilaian tidak boleh dibuat berdasarkan prestasi ketika latihan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan pemain menyesuaikan diri dalam situasi sebenar pertandingan.

“Keserasian pasangan perlu dinilai menerusi latihan dan kejohanan. Kita perlu melihat prestasi mereka dalam dua, tiga atau lima kejohanan sebelum menentukan pasangan yang benar-benar sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Herry berkata, setiap pemain mempunyai karakter dan corak permainan berbeza, justeru pemilihan pasangan perlu mengambil kira kesesuaian peranan di gelanggang, termasuk pemain yang menguasai bahagian hadapan dan belakang.

Beliau turut menjelaskan bahawa Arif dan Haikal mempunyai kualiti individu yang baik, selain pengalaman sebagai pasangan sebelum ini, sekali gus memberikan ruang untuk kombinasi itu diuji semula.

Bagaimanapun, Herry menegaskan bahawa percubaan berkenaan belum disertakan sasaran khusus kerana pihak kejurulatihan perlu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai prestasi mereka sebelum membuat keputusan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Herry berkata, pihak kejurulatihan turut perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi perubahan format pemarkahan kepada 15 mata yang disebutnya akan bermula pada Januari tahun depan.

Menurutnya, pemain perlu menyesuaikan diri dengan format berkenaan kerana pendekatan permainan bagi sistem 15 mata berbeza daripada format 21 mata yang digunakan sebelum ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.