
PARIS, 27 Oktober -Paris Saint-Germain (PSG) mengatasi Lyon 2-0 untuk merampas kedudukan teratas Ligue 1 selepas meraih kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan, meskipun dibelenggu kecederaan pemain utama.
- Senny Mayulu membuka jaringan pada minit ke-72, diikuti Mika Godts gol pertamanya untuk PSG pada minit ke-84.
- Jurulatih Luis Enrique memuji sumbangan Mika Godts dan yakin pemain itu boleh kekal bersama pasukan untuk jangka panjang.
- Enrique mendedikasikan kemenangan kepada Khvicha Kvaratskhelia, yang mengalami kecederaan ACL dan dijangka berehat beberapa bulan.
Pemain gantian Senny Mayulu memecah kebuntuan pada minit ke-72 hasil umpanan Mika Godts sebelum pemain Belgium itu meledak gol pertamanya bersama PSG pada minit ke-84 di Parc des Princes.
Kemenangan itu meletakkan juara bertahan itu satu mata di depan Rennes, sekali gus meneruskan rentak lima kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.
Jurulatih PSG, Luis Enrique memuji sumbangan Godts, 21, yang menyertai kelab itu dari Ajax, sambil menyatakan keyakinan terhadap potensi pemain berkenaan untuk kekal bersama pasukan itu bagi tempoh panjang.
PSG terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak termasuk Ousmane Dembele, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes dan kapten Marquinhos akibat kecederaan.
Enrique turut mendedikasikan kemenangan itu kepada Kvaratskhelia yang mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) ketika menentang Barcelona minggu lalu dan dijangka berehat selama beberapa bulan.
Perlawanan itu, yang pada asalnya dijadual berlangsung Ahad, ditunda sehari atas permintaan polis Paris bagi mengalihkan sumber keselamatan susulan gelombang protes ganas di ibu negara Perancis itu.
PSG sebelum ini gagal memenangi tiga perlawanan pertama Ligue 1 musim ini, namun kini mendahului liga selepas bangkit dengan rentetan kemenangan. – AFP.