
SHAH ALAM, 24 Oktober – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) melancarkan hab Body & Paint pertamanya di Glenmarie, Shah Alam, bagi memperkukuh perkhidmatan selepas jualan menerusi kemudahan pembaikan dan pemulihan kenderaan yang lebih menyeluruh.
- Kemudahan seluas 41,508 kaki persegi dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik pencampuran dan empat ruang semburan, kapasiti antara 360 hingga 400 kenderaan sebulan.
- Menyokong operasi pelbagai jenama termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan smart EV; Proton e.MAS dijangka menyertai tidak lama lagi.
- Menawarkan pembaikan badan, pembetulan kemek, pengecatan semula dan penentukuran ADAS; menerima tuntutan daripada semua syarikat insurans.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial, berkata pembukaan hab itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan selepas pembelian kenderaan melalui perkhidmatan penjagaan dan penyelenggaraan berkualiti.
Hab berkeluasan 41,508 kaki persegi itu dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik pencampuran cat dan empat ruang semburan cat (spray booth), dengan kapasiti mengendalikan antara 360 hingga 400 kenderaan sebulan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan menyokong operasi pelbagai jenama di bawah EON, termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik smart, manakala Proton e.MAS dijangka menyertai rangkaian perkhidmatan itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, hab itu menggunakan peralatan mengikut piawaian pengeluar kenderaan, selain disokong tenaga kerja terlatih dan prosedur operasi standard bagi memastikan mutu pembaikan serta kemasan memenuhi keperluan setiap jenama.
Selain pembaikan kenderaan akibat kemalangan, hab berkenaan turut menawarkan perkhidmatan membaiki kerosakan badan kenderaan, mengetuk kemek dan mengecat semula, termasuk keupayaan melaksanakan penentukuran sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).
Kemudahan itu juga menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan pembaikan di bawah satu bumbung.
Dalam pada itu, Akkbar berkata, EON sedang meneroka peluang memperluas rangkaian hab Body & Paint ke lokasi strategik lain, bergantung pada sambutan pelanggan dan kejayaan operasi hab pertama berkenaan.
Menurutnya, peluasan itu akan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai rangkaian pengedar pelbagai jenama EON bagi meningkatkan akses pelanggan kepada perkhidmatan selepas jualan.
Langkah berkenaan dijangka memperkukuh ekosistem perkhidmatan EON serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan menerusi penyelesaian yang lebih mudah, cekap dan dipercayai.