Kebakaran marak semula di rumah rehat Eagle’s Nest

Foto AFP

MUNICH, 25 Oktober -Kebakaran tercetus semula semalaman di pusat peranginan gunung Eagle’s Nest di selatan Jerman yang pernah digunakan oleh diktator Nazi Adolf Hitler, lapor polis Bavaria pada Ahad, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Api marak hingga paras ketinggian bilik, anggota bomba dikerah dan berjaya memadamkan api.
  • Bara yang masih membara menyebabkan kebakaran kembali marak; ini bukan perkara luar biasa menurut pegawai.
  • Kebakaran besar sebelumnya memusnahkan bangunan; seorang suspek ditahan, penilaian psikiatri awal menunjukkan masalah mental.

“Api marak semula sehingga ke paras ketinggian bilik,” kata seorang pegawai polis.

Anggota bomba telah dikerah ke tapak bersejarah itu, yang dikenali sebagai Kehlsteinhaus dalam bahasa Jerman, di puncak Obersalzberg dan berjaya memadamkan api.

Pegawai itu berkata kejadian api kembali marak bukan sesuatu yang luar biasa kerana bara api yang masih membara selepas kebakaran utama dipadamkan.

Kebakaran besar berlaku di Eagle’s Nest pada petang Jumaat, menyebabkan polis menahan seorang suspek kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dengan api.

Penilaian psikiatri awal ke atas lelaki warga Jerman berusia 33 tahun itu menyimpulkan bahawa beliau mengalami masalah mental, menurut pihak pendakwa raya.

Bangunan itu sebahagian besarnya musnah akibat kebakaran berkenaan, dengan kerugian dianggarkan mencecah jutaan euro.

Eagle’s Nest, yang terletak pada ketinggian lebih 1,800 meter, dibina di bawah rejim Nazi pada 1930-an sebagai sebahagian daripada kompleks yang digunakan oleh Hitler di Obersalzberg.

Ia digunakan sebagai restoran sejak 1952. Bagaimanapun, premis berkenaan ditutup pada Jumaat dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Hitler melawat Eagle’s Nest beberapa kali untuk menerima kunjungan diplomat dan tetamu asing yang lain, menurut persatuan pelancongan tempatan di Berchtesgaden.

Bagaimanapun, dari segi politik, pusat peranginan itu “kekal kurang penting” dan terutamanya digunakan oleh pegawai-pegawai kanan Nazi bagi tujuan rekreasi serta sambutan peribadi, menurut persatuan itu.

Hari ini, ia menempatkan pameran yang mengetengahkan sejarah Nazi. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.