
RAUB, 25 Oktober – Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau yang berlangsung dua hari bermula semalam.
- Pemantauan dan penilaian saintifik perlu diteruskan untuk mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies asing di empangan.
- Kaedah Environmental DNA (eDNA) dianalisis pada sampel air untuk mengesan bahan genetik yang ditinggalkan organisma akuatik.
- Program Mitigasi Ikan Asing oleh DOF melibatkan 150 peserta, kurangkan populasi ikan asing dan tingkatkan kesedaran masyarakat.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain menerusi kenyataan bagaimanapun memaklumkan situasi itu tidak membuktikan spesies berkenaan tiada di empangan itu, susulan laporan terdahulu mengenai penemuan piranha yang disahkan di lokasi terbabit.
“Walaupun, tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap namun, pemantauan serta penilaian saintifik perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies tersebut.
“Selain aktiviti tangkapan, penyelidikan menggunakan kaedah Environmental DNA (eDNA) turut dilaksanakan dalam program itu bagi membantu mengesan kemungkinan kehadiran ikan piranha di Empangan Klau.
“Kaedah itu membolehkan sampel air dianalisis bagi mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik.
“Keputusan akhir penyelidikan eDNA akan ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai,”katanya.
Program Mitigasi Ikan Asing anjuran Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang disertai 150 peserta bertujuan mengurangkan populasi ikan asing, menilai komposisi ikan di perairan empangan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman spesies asing.
Sepanjang program, 156. 586 kilogram ikan asing direkodkan melibatkan tiga kumpulan utama, masing-masing Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa.