Harga minyak sawit dijangka kekal lebih RM4,600 satu tan pada November

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,600 satu tan pada November, disokong penurunan pengeluaran bermusim dan permintaan biodiesel yang berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan India mengurangkan duti import minyak sayuran dijangka menjadikan minyak sawit import lebih murah dan meningkatkan permintaan.
  • Pengeluaran Malaysia meningkat pada September tetapi dijangka turun mengikut trend bermusim, dengan inventori berkurangan dari November 2026 hingga Februari 2027.
  • Eksport terkumpul meningkat tahun ke tahun walau eksport September merosot; kekangan kapal dan persaingan Indonesia menjejaskan eksport sementara.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, keputusan India mengurangkan duti import minyak sayuran dijangka menjadikan minyak sawit import lebih murah, sekali gus mendorong peningkatan permintaan dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 16.4 peratus kepada 2.11 juta tan pada September, sekali gus mencapai paras tertinggi, disokong peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan kadar perahan minyak yang lebih baik.

Bagaimanapun, pengeluaran dijangka menurun mengikut trend bermusim dalam tempoh lima bulan akan datang, manakala paras inventori dijangka berkurangan dari November 2026 hingga Februari 2027.

“Keadaan itu dijangka terus menyokong harga MSM pada suku keempat 2026,” menurut MPOC dalam kenyataan.

Sementara itu, eksport terkumpul minyak sawit meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, meskipun eksport September merosot 12.1 peratus kepada 1.12 juta tan.

MPOC berkata, ketersediaan kapal yang terhad di Selat Melaka serta persaingan meningkat daripada Indonesia turut menjejaskan eksport bulanan, namun kelemahan itu dijangka bersifat sementara.

“Penghantaran dijangka meningkat dengan ketara antara Oktober hingga Disember berikutan ketersediaan lebih banyak kapal dan bekalan minyak campuran yang semakin terhad.

“Penurunan harga minyak sawit daripada paras tertinggi pada September juga boleh mendorong pembeli global membuat tempahan penghantaran lebih awal pada harga yang lebih menarik,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.