30,000 wanita disasar terima manfaat Program Subsidi Ujian Mamogram

Foto RTM

GEORGE TOWN, 21 Oktober – Seramai 38,000 wanita disasar menerima manfaat daripada Program Subsidi Ujian Mamogram menerusi peruntukan RM9 juta yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program memperluas akses saringan mamogram dan menggalakkan pengesanan awal kanser payudara di kalangan wanita negara ini.
  • Mensasarkan wanita 40 hingga 70 tahun; isi rumah RM10,000 dan ke bawah layak ujian percuma, pendapatan lebih boleh dipertimbangkan subsidi RM50.
  • Program dikendalikan KPWKM bersama LPPKN, giat tingkat kesedaran kerana ramai takut jalani pemeriksaan; pengesanan awal tingkat peluang rawatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang dilaksanakan sejak 2007 itu bertujuan memperluas akses kepada saringan mamogram serta menggalakkan pengesanan awal kanser payudara dalam kalangan wanita di negara ini.

Tambahnya, Inisiatif berkenaan menyasarkan wanita berusia 40 hingga 70 tahun, dengan wanita yang mempunyai pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah layak mendapat ujian percuma sepenuhnya, manakala mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000 boleh dipertimbangkan untuk subsidi RM50, tertakluk kepada syarat program.

“Sebab itulah pentingnya orang ramai hadir ke program seperti ini supaya mereka mendapat maklumat mengenai perkara yang berlaku. Masih ramai yang kurang mengetahui tentang kanser payudara.

“Ada yang berasa takut untuk menjalani pemeriksaan. Oleh itu, program seperti ini perlu diadakan bagi memberikan kesedaran dan galakan kepada mereka, khususnya golongan yang merasakan diri mereka berisiko, supaya tampil menjalani pemeriksaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 Peringkat Kebangsaan di Penang Waterfront Convention Centre, di sini, pada Rabu.

Terdahulu Datuk Seri Nancy memaklumkan, program kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini akan terus dipertingkat melalui kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan payudara memandangkan pengesanan awal dapat meningkatkan peluang untuk mendapatkan rawatan yang berkesan.

Sehingga 30 September lalu seramai 595,143 wanita di seluruh Malaysia telah menjalani ujian mamogram dengan 1,334 kes kanser payudara telah disahkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.