30 peratus peralatan akses penumpang Rapid KL sokong pembayaran terbuka

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 21 Oktober -Sebanyak 30 peratus peralatan akses penumpang dan kutipan tambang di setiap stesen rangkaian rel Rapid KL disasarkan menyokong sistem pembayaran terbuka dalam tempoh 12 bulan pertama selepas tarikh mula projek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan sepenuhnya dijangka mengambil masa 30 bulan bagi perkhidmatan rel Rapid KL; Rapid Bus dijangka siap dalam 15 bulan.
  • Proses perolehan kini di peringkat akhir dengan keputusan dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun.
  • Kelewatan berpunca daripada tender semula selepas tender pertama tidak dianugerahkan, dan perolehan dikendalikan serta dibiayai sepenuhnya oleh Prasarana.

Manakala pelaksanaan sepenuhnya dijangka mengambil masa 30 bulan selepas projek itu dimulakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi perkhidmatan bas Rapid Bus di Lembah Klang pula, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan selepas projek bermula.

Sebaik sahaja projek dimulakan, pelaksanaannya dijangka dijalankan secara berfasa.

“Projek ini kini berada pada peringkat akhir proses perolehan dan penilaian, dengan keputusan dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.Tempoh pelaksanaan yang mengambil masa panjang adalah bagi memastikan Prasarana mematuhi sepenuhnya tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) perolehan dalaman,

“Sekali gus menjamin proses perolehan yang telus, berdaya saing dan berlandaskan prinsip tadbir urus terbaik, serta memberikan nilai optimum kepada kerajaan dan pengguna pengangkutan awam. Sehubungan itu, proses penilaian teknikal dan komersial serta kelulusan berkaitan kini sedang dimuktamadkan sebelum kontrak dianugerahkan,” katanya dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan kelewatan projek pembayaran terbuka bagi perkhidmatan rel Rapid KL dan Rapid Bus di Lembah Klang berpunca daripada keperluan melaksanakan tender semula selepas tender pertama tidak dianugerahkan.

Jelas beliau proses perolehan itu dikendalikan sepenuhnya oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), tanpa campur tangan kementeriannya.

“Proses perolehan ini bukan di bawah Kementerian Pengangkutan, sebaliknya dikendalikan sepenuhnya oleh Prasarana menerusi proses dalaman syarikat.

“Setiap perolehan perlu melalui jawatankuasa pemilihan sebelum mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan peringkat berkaitan.

“Kelewatan pelaksanaan projek ini berlaku susulan tender pertama yang tidak dianugerahkan, sekali gus memerlukan proses tender semula atau re-tender yang mengambil masa.

“Kementerian Pengangkutan tidak terlibat dalam urusan tender dalaman Prasarana, yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan proses tender dan perolehannya. Projek ini juga dibiayai sepenuhnya oleh Prasarana,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.