
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Projek menaik taraf jalan masuk sepanjang 3.5 kilometer yang menghubungkan Jalan Persekutuan Benta-Jerantut ke Kilang Sawit FELCRA Jayaputra, Damak, Jerantut, Pahang, dijadual bermula Mei 2027.
- Kos projek RM8 juta; kerajaan meluluskan RM4 juta melalui Belanjawan 2027, dengan siling peruntukan RM1 juta untuk tahun hadapan.
- Baki RM4 juta akan ditanggung FELCRA Berhad menggunakan sumber kewangan dalaman.
- Projek dilaksanakan berperingkat selama empat tahun bagi memastikan operasi kilang, keselamatan pengguna dan mobiliti penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, projek bernilai RM8 juta itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.
Bagaimanapun, menerusi Belanjawan 2027, kerajaan hanya meluluskan peruntukan RM4 juta daripada RM8 juta yang dipohon, dengan siling peruntukan bagi tahun depan sebanyak RM1 juta.
“FELCRA Berhad telah mengemukakan permohonan peruntukan projek ini di bawah RMKe-13 dengan sokongan KKDW dan telah melalui sesi libat urus bajet bersama KKDW dan Kementerian Kewangan pada 28 September 2026.
“Dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober 2026, kerajaan hanya meluluskan kos projek sebanyak RM4 juta daripada RM8 juta yang dipohon,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Rubiah menjelaskan, baki RM4 juta akan ditanggung FELCRA Berhad menerusi sumber kewangan dalamannya.
Projek naik taraf itu penting bagi memastikan kelancaran operasi kilang sawit, meningkatkan keselamatan pengguna serta memudahkan pergerakan penduduk setempat.
Laluan berkenaan telah digunakan lebih 20 tahun sebagai akses utama ke kilang sawit, selain menghubungkan kebun dan kampung berhampiran.