
PELABUHAN KLANG, 20 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui laluan laut tidak diwartakan di perairan Tanjung Karang, awal pagi Selasa.
- Maritim Selangor berjaya mematahkan cubaan penyeludupan selepas maklumat risikan mengesan aktiviti mencurigakan.
- Sebuah bot kayu tanpa nombor didapati, tekong dan awak ditahan bersama ramai PATI warga Indonesia, beberapa memiliki pasport.
- Kes disiasat mengikut Akta Imigresen dan ATIPSOM; semua ditahan diiring ke Jeti PPM Pulau Indah, orang ramai diminta menyalurkan maklumat.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan migran di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan mengesan dan menahan sebuah bot kayu berwarna merah dan hitam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Karang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong berusia 23 tahun bersama dua awak-awak warga Indonesia berumur 18 dan 28 tahun.
“Turut ditemukan 54 PATI warga Indonesia, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun. Sebahagian daripada mereka memiliki pasport,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua individu bersama bot yang ditahan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan masuk atau keluar negara melalui laluan yang tidak diwartakan, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) berkaitan cubaan penyeludupan migran.
Abdul Muhaimin menegaskan APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti berkenaan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.