
GANGNEUNG, 20 Oktober – Pelaksanaan sistem pembayaran tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) di Malaysia merupakan antara inisiatif kerajaan untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.
- Kecekapan kutipan tol jadi keutamaan untuk memastikan kutipan teratur dan kurangkan risiko ketirisan hasil.
- Pengalaman Korea Selatan dijadikan rujukan untuk memperhalusi cadangan pelaksanaan dan penambahbaikan teknologi kutipan tol.
- Pelaksanaan memerlukan penelitian menyeluruh, penambahbaikan berterusan, dan rundingan dengan syarikat konsesi serta pihak swasta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain meningkatkan keselesaan pengguna, aspek kecekapan kutipan tol turut menjadi keutamaan bagi memastikan kutipan lebih teratur serta mengurangkan risiko ketirisan hasil.
“Sudah tentu sistem ini memberi manfaat kepada pengguna, khususnya dalam mengurangkan kesesakan di plaza tol dan melancarkan pergerakan kenderaan. Pada masa sama, aspek kutipan tol juga penting kerana ia melibatkan hasil kewangan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan teknikal bagi meninjau sistem kutipan tol MLFF yang digunakan di Plaza Tol Gangneung bersempena Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Gangneung, Korea Selatan.
Datuk Seri Alexander berkata, pengalaman Korea Selatan dalam mengendalikan teknologi berkenaan menjadi rujukan penting kepada Malaysia untuk memperhalusi cadangan pelaksanaan sistem sama di negara ini.
Menurutnya, pelaksanaan MLFF memerlukan penelitian menyeluruh dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan sistem dapat beroperasi secara optimum.
“Bagi saya, pengalaman ini memberi gambaran bahawa apabila MLFF dilaksanakan nanti, sistem itu tidak semestinya terus sempurna sepenuhnya. Ia perlu terus diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia masih memperhalusi cadangan pelaksanaan MLFF, termasuk menerusi rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya dan pihak swasta yang berkaitan.
Pengalaman serta kepakaran Korea Selatan akan terus dijadikan panduan bagi memastikan pelaksanaan sistem itu kelak dapat memberi manfaat maksimum kepada pengguna, selain meminimumkan risiko ketirisan kutipan tol.