
KOTA BHARU, 20 Oktober – Seramai 2,481 individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan menerusi pelaksanaan pelan strategik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sejak 15 Julai lalu.
- Pelan strategik menetapkan sasaran kepada 56 ketua balai untuk menahan sekurang-kurangnya seorang penyalahguna dadah setiap hari.
- Prestasi setiap balai akan dinilai selepas tempoh pelaksanaan tiga bulan atau 100 hari untuk menilai keberkesanan strategi.
- Sasaran diselaraskan mengikut peranan balai berhampiran komuniti bagi memudahkan pengesanan dan penahanan individu terlibat.
Pelan itu menetapkan sasaran kepada 56 ketua balai polis di seluruh negeri untuk menahan sekurang-kurangnya seorang individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah setiap hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, prestasi setiap balai akan dinilai selepas tempoh pelaksanaan selama tiga bulan atau 100 hari bagi mengenal pasti keberkesanan strategi berkenaan.
“Alhamdulillah, dalam mesyuarat terdahulu, semua balai polis di Kelantan bersetuju untuk memperkemas lagi pelan strategik ini.
“Kita akan menilai prestasi setiap balai selepas tempoh pelaksanaan yang ditetapkan sebelum menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.” beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.
Datuk Mohd. Yusoff berkata, penilaian itu turut menjadi asas untuk menentukan tindakan susulan terhadap ketua balai yang dikenal pasti mempunyai kelemahan dalam pelaksanaan strategi berkenaan.
Menurutnya, penetapan sasaran itu mengambil kira peranan balai polis yang mempunyai sektor operasi berhampiran komuniti setempat, sekali gus memudahkan usaha mengesan dan menahan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa IPK Kelantan menetapkan sasaran seorang tangkapan berkaitan dadah sehari bagi setiap 56 ketua balai polis di negeri itu bermula 15 Julai lalu.