Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat tangani kecurian kabel

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi menangani pelbagai kesalahan dalam sektor pengangkutan awam darat, termasuk kecurian kabel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan pindaan masih di peringkat dasar sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
  • Menteri menegaskan pengendali mesti tingkatkan langkah pencegahan, penguatkuasaan hukuman lebih berat sahaja tidak mencukupi.
  • MRL dan pengendali lain meneliti penggunaan CCTV serta penyelesaian inovatif bagi mengurangkan risiko kecurian kabel.
  • Isu ini membuka peluang kepada syarikat pemula niaga dan institusi pengajian tinggi untuk kegiatan R&D.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan pindaan itu masih di peringkat dasar sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses selanjutnya.

“Jadi, ini sedang dirangka dan memang kita lihat sejauh mana dan secepat mana boleh kita proses penggubalan dan pindaan itu,” katanya selepas merasmikan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026, di sini.

Pada masa sama, beliau menegaskan langkah pencegahan oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan, termasuk Malaysia Rail Link (MRL) perlu dipertingkat bagi membendung kegiatan mencuri kabel.

Menurutnya, penguatkuasaan hukuman lebih berat sahaja tidak memadai sekiranya langkah pencegahan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Sehubungan itu, MRL bersama pengendali lain sedang meneliti penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta penyelesaian inovatif lain bagi mengurangkan risiko kecurian kabel.

Isu berkenaan turut membuka peluang kepada syarikat pemula niaga, termasuk yang berkaitan dengan institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.