TXA bakal dianjurkan setiap dua tahun

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) bakal dijadikan acara dwitahunan secara berselang seli dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

RINGKASAN BERITA AI
  • TXA berpotensi menjadi platform memperkasakan penggunaan teknologi moden dan pintar bagi memacu perkembangan sektor pengangkutan negara.
  • Ekspo menghimpunkan peneraju industri dan penyedia penyelesaian teknologi bagi mempamerkan inovasi dalam sektor darat, maritim dan udara.
  • Antara teknologi dipamerkan: kenderaan autonomi logistik, teknologi MRO pesawat serta dron, termasuk projek robovan bersama Pos Laju.
  • TXA membuka peluang kepada PKS logistik dan pengangkutan meneroka teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing; tiada sasaran impak ekonomi ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, TXA berpotensi menjadi platform penting yang memperkasa penggunaan teknologi moden dan pintar bagi memacu perkembangan sektor pengangkutan negara.

Menurut beliau, penganjuran ekspo itu menghimpunkan peneraju industri serta penyedia penyelesaian teknologi merangkumi sektor darat, maritim dan udara bagi mempamerkan inovasi terkini dalam industri berkenaan.

“Pameran ini merupakan satu pameran penting untuk kita memacu perkembangan sektor pengangkutan negara dan juga memastikan kita dapat terus ke hadapan menggunakan teknologi-teknologi moden.

“Sudah tentu Malaysia tidak boleh ketinggalan. Kita harap dapat memacu trend ini dan memperkenalkannya kepada syarikat-syarikat pengangkutan dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan TXA 2026, di sini.

Beliau berkata, TXA memberi tumpuan khusus kepada sektor pengangkutan, berbeza daripada LIMA yang lebih menjurus kepada industri pertahanan dan aeroangkasa.

Antara teknologi yang dipamerkan ialah kenderaan autonomi untuk logistik, teknologi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta dron.

Katanya, sebuah kenderaan robotik atau robovan diperkenalkan menerusi projek bukti pelaksanaan bersama Pos Laju bagi menilai kesesuaiannya dalam operasi syarikat berkenaan.

Selain peneraju industri utama, penganjuran TXA turut membuka peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya dalam sektor logistik dan pengangkutan untuk meneroka teknologi baharu yang berpotensi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing industri.

Bagaimanapun, kementerian belum menetapkan sasaran impak ekonomi khusus bagi ekspo itu memandangkan ia merupakan penganjuran sulung secara besar-besaran.

TXA 2026 berlangsung selama tiga hari dari 20 hingga 22 Oktober di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.