
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi, belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu, sekali gus menyaksikan penyertaannya pada kejohanan Masters Indonesia Super 100 di Kudus dibatalkan.
- Keputusan dibuat selepas Arif tidak mencapai tahap kecergasan optimum semasa Kejohanan Malaysia Super 100 2026 di Iskandar Puteri.
- Arif masih mengalami masalah bahu yang menjejaskan kemampuan melakukan smash dengan kekuatan penuh.
- Harry berkata Arif belum bersedia untuk menyertai kejohanan; percubaan di Johor menunjukkan pemulihan belum lengkap.
- Penyingkiran awal Arif dan Mohd Faiq tidak membimbangkan; keutamaan adalah memastikan pemulihan penuh sebelum kejohanan akan datang.
Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Kebangsaan, Harry Iman Pierngadi berkata, keputusan itu dibuat selepas pemain berkenaan didapati masih belum berada pada tahap kecergasan optimum ketika beraksi pada kejohanan Malaysia Super 100 2026 di Iskandar Puteri, Johor.
Menurutnya, Arif masih mengalami masalah pada bahu sehingga menjejaskan keupayaannya melakukan pukulan (smash) sepenuhnya.
“Berdasarkan pemerhatian saya, Arif sebenarnya belum bersedia untuk menyertai kejohanan itu. Kami mahu mencuba di Johor, tetapi ternyata dia masih belum pulih sepenuhnya dan tidak boleh melakukan smash dengan kekuatan penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi latihan harian di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.
Mengulas penyingkiran awal Arif dan Mohd Faiq Masawi pada pusingan pertama, Harry berkata, perkara itu tidak membimbangkan kerana setiap pemain memerlukan masa untuk melalui proses perkembangan masing-masing.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan Arif kembali pulih sepenuhnya sebelum menyertai kejohanan akan datang.