
GOMBAK, 19 Oktober – Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan Transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu bermula RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres ditawarkan pada kadar permulaan RM147.
- Mekanisme tambang dinamik; harga berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
- Jualan tiket dijangka bermula pertengahan bulan ini dan operasi komersial laluan Gombak ke Kota Bharu disasarkan pertengahan Disember 2026.
- Perkhidmatan transit berhenti di setiap stesen; ekspres fokus pada empat stesen utama: Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
- Diskaun 50% untuk kanak-kanak (2 hingga 12), warga emas 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU dan pesara; pelajar 13 hingga 24 diberi 40%.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, mekanisme tambang dinamik yang digunakan membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
Beliau berkata penjualan tiket ECRL dijadual bermula pada pertengahan bulan ini, manakala operasi komersial laluan Gombak–Kota Bharu disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Tambang ECRL di Terminal Bersepadu Gombak.
“Mekanisme tambang dinamik telah dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 28 Jun 2024, manakala cadangan formula pelaksanaannya diluluskan pada 16 Oktober 2026.
“Melalui pendekatan ini, harga tiket boleh berubah berdasarkan waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk,” katanya.
Menurut beliau, mekanisme itu hampir sama seperti yang digunakan dalam industri penerbangan.
“Penumpang yang merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu tertentu berpeluang mendapatkan tambang lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan tiket.
“Pada masa yang sama mekanisme ini membolehkan permintaan penumpang diurus dengan lebih baik.
“Pendekatan ini memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih perjalanan berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing. Matlamat kita adalah untuk menawarkan tambang yang kompetitif dan berpatutan sambil memastikan operasi ECRL kekal mampan dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu, tambang transit bermula RM95, manakala ekspres RM110.
Manakala, tambang bagi perjalanan Gombak ke KotaSAS di Kuantan bermula RM60 untuk transit dan RM68 bagi ekspres.
Kadar permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.
Perkhidmatan transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala ekspres memberi tumpuan kepada empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Sementara itu, kerajaan meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
“Bagi pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan. Ini merupakan satu pendekatan yang amat positif dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif,” ujarnya.