
PUTRAJAYA, 17 Oktober – Seramai 6,724 pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diluluskan urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat Gred 10 sehingga Gred 15, termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
- LKPPA meluluskan 143 pemangkuan dan 6,581 kenaikan pangkat bagi pegawai KKM.
- KKM anggap kelulusan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta pemangkin kecemerlangan dan semangat pegawai.
- Empat pegawai terkorban dalam nahas helikopter diberi kenaikan pangkat anumerta; KKM komited menambah baik kebajikan dan pembangunan kerjaya.
Kelulusan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) pada 13 Oktober lalu itu membabitkan 143 pegawai yang diluluskan pemangkuan, manakala 6,581 lagi menerima kenaikan pangkat.
KKM dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam memastikan kelancaran operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“KKM percaya bahawa pengiktirafan seperti ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta memperkukuh semangat pegawai-pegawai KKM untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi sistem kesihatan negara yang berkualiti, mampan dan responsif,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KKM turut merakamkan penghargaan kepada empat pegawainya yang terkorban dalam nahas helikopter ketika menjalankan tugas bersama Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) pada 8 September lalu.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka, keempat-empat pegawai berkenaan diluluskan kenaikan pangkat secara anumerta (posthumous).
KKM turut menegaskan komitmennya untuk terus meneliti dan melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan kebajikan serta pembangunan kerjaya pegawai kementerian sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.