Belanjawan Pahang 2027: Pembangunan belia diharap jadi tumpuan

Foto BERNAMA

KUANTAN, 16 Oktober – Pembangunan belia diharap menjadi antara tumpuan utama Belanjawan Pahang 2027 menerusi penyediaan peluang keusahawanan, peningkatan kemahiran, kemudahan sukan serta penciptaan pekerjaan baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan setiap inisiatif dan bantuan disalurkan secara berkesan kepada golongan belia.
  • Libatkan dan perkukuh Majlis Belia Negeri Pahang sebagai ejen penyampaian maklumat kepada anak muda.
  • Perluaskan bantuan SME Corp dan SME Bank untuk membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan.
  • Perkasa latihan kemahiran termasuk AI; utamakan baik pulih kemudahan sukan dan penciptaan peluang pekerjaan melalui projek seperti ECRL.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Saharuddin Ahmad berkata, tumpuan itu penting bagi memastikan golongan belia mempunyai lebih banyak ruang meningkatkan kemahiran, pendapatan dan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

Jelas beliau, selain menyediakan inisiatif bersesuaian, kerajaan juga perlu memastikan setiap peluang dan bantuan disampaikan dengan berkesan kepada golongan sasaran.

Menurutnya, MBNP boleh memainkan peranan sebagai saluran hebahan bagi memperluas penyampaian maklumat mengenai program serta bantuan kerajaan kepada anak muda di negeri itu.

“Kita mahu saluran ini diperkukuh. Di Pahang, kita ada Majlis Belia Negeri Pahang dan mungkin MBNP boleh dilibatkan sebagai ejen untuk menyampaikan peluang atau inisiatif kerajaan kepada anak muda,” katanya kepada RTM.

Mengulas lanjut mengenai peluang keusahawanan untuk belia, Saharuddin berkata, bantuan menerusi SME Corp Malaysia serta SME Bank perlu disampaikan dengan lebih meluas bagi membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan.

Selain itu, latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran perlu diperkasa bagi membantu belia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta perubahan keperluan pasaran pekerjaan.

Dalam aspek sukan, beliau berpandangan peruntukan Belanjawan Pahang 2027 wajar mengutamakan kerja menaik taraf dan membaik pulih kemudahan sedia ada, termasuk di kawasan luar bandar, sebelum pembinaan fasiliti baharu.

Beliau turut berharap belanjawan itu dapat membantu meningkatkan pendapatan belia menerusi peluang pekerjaan baharu, termasuk susulan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Belanjawan Pahang 2027 dijadualkan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 20 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.