
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Peluasan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi Belanjawan 2027 bakal memberi kelegaan kepada pembeli, khususnya bagi hartanah bernilai sehingga RM750,000.
- Pengecualian duti setem: pengecualian penuh pada bahagian had awal, baki duti layak pengecualian 50 peratus; terpakai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030.
- Hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk projek perumahan termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat serta empat projek baharu.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan menawarkan jaminan sehingga RM20 bilion, dijangka membantu kira-kira 80,000 pembeli pertama, termasuk golongan bekerja sendiri.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari menjangkakan, peningkatan had harga rumah daripada RM500,000 kepada RM750,000 akan memberi manfaat kepada lebih tiga perempat daripada keseluruhan pembeli rumah.
Menurutnya, tempoh pengecualian sehingga 2030 turut memberi ruang lebih panjang kepada pembeli merancang pemilikan kediaman pertama.
“Sebagai contoh, pembeli rumah bernilai RM750,000 dengan pembiayaan 90 peratus hanya perlu membayar kira-kira RM4,300 berbanding RM19,875 tanpa pengecualian berkenaan.
“Perbezaan itu bersamaan penjimatan lebih RM15,500 bagi senario pembelian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Bagi rumah berharga sehingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan bagi RM500,000 pertama, manakala baki nilai menikmati pengecualian 50 peratus.
Kemudahan itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Sehubungan itu, Kashif menyarankan pembeli rumah pertama yang merancang membeli hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM750,000 menandatangani perjanjian jual beli mulai Januari 2027 bagi menikmati kemudahan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir RM1 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan MADANI kelima bagi projek perumahan termasuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Program Residensi Rakyat (PRR).
Empat projek perumahan baharu turut dirancang di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.
Kashif berpandangan, peruntukan itu berpotensi membantu lebih ramai keluarga mendapatkan kediaman mampu milik.
“Jumlah berkenaan berpotensi membiayai pembinaan hampir 13,000 rumah sekiranya keseluruhan peruntukan disalurkan kepada program RMR, berdasarkan kos pembinaan yang digariskan dalam Belanjawan 2026,” jelasnya.
Selain itu, Belanjawan 2027 turut menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Jaminan itu dijangka membantu sehingga 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.
Menurut Kashif, skim berkenaan dapat membantu pemohon yang berkemampuan membayar ansuran tetapi menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan akibat kekangan dokumentasi pendapatan atau tidak memenuhi kriteria bank.