
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kejayaan menembusi kelompok lima terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap usaha penggiat industri penyiaran menghasilkan karya berkualiti dan berimpak tinggi.
- Penggunaan CGI dalam dokumentari sukan membantu menerangkan cerita agar penonton lebih mudah memahami.
- Pengendalian acara berskala besar memerlukan koordinasi rapi, kesabaran dan pemahaman keperluan pelbagai pihak.
- Kerja berpasukan dan kerjasama dengan JAS serta PDRM mendedahkan pencemaran alam serta penempatan haram pekerja kilang.
Calon kategori Dokumentari TV Terbaik dan Rancangan Sukan TV Terbaik menerusi karya Sang Juara, Faizal Ariff berkata, proses pembikinan dokumentari sukan menuntut kreativiti bagi memastikan penceritaan lebih mudah difahami penonton.
“Dalam dokumentari ini juga saya selitkan elemen CGI. Kemahiran mereka saya letakkan dalam bentuk CGI supaya audiens dapat memahami apa yang saya mahu sampaikan.
Bagi calon kategori Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik dan Video Pendek Terbaik, Mohd Rafael Ramlan, pengendalian program berskala besar memerlukan penyelarasan rapi bersama pelbagai pihak.
Antara program dikendalikannya ialah Sambutan Hari Kebangsaan 2024 serta Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.
“Cabaran memang agak besar kerana ia memerlukan koordinasi dengan pihak luar termasuk tentera.
“Kita perlu banyak bersabar dan pada masa sama memahami pelbagai sudut serta keperluan sepanjang penerbitan,” katanya.
Sementara itu, calon kategori Liputan Berita TV Terbaik, Nor Ain Abu Bakar menyifatkan pencalonannya menerusi pendedahan eksklusif kilang kitar semula haram sebagai pencapaian bersama pasukan.
Liputan yang dijayakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membongkar isu pencemaran alam sekitar serta kewujudan penempatan haram pekerja kilang.
“Saya lebih suka menggunakan perkataan ‘kami’ kerana saya bekerja secara berpasukan, melibatkan jurukamera dan penyunting video yang sama-sama turun padang dan melalui susah payah bersama,” katanya.
Prelude ASA 2026 yang merupakan penganugerahan awal bagi 30 kategori dipertandingkan akan diadakan pada 20 Oktober ini, manakala Malam Kemuncak ASA 2026 dijadual berlangsung pada 24 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.