BKK RM1,000 bantu pemandu teksi, kereta sewa tampung kos operasi

Foto Fail BERNAMA

JOHOR BAHRU, 15 Oktober – Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 secara sekali bayar membantu penerima termasuk pemandu teksi dan kereta sewa menampung kos operasi harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu teksi berasa lega kerana bantuan meringankan beban akibat kekurangan penumpang dan peningkatan kos mengendalikan kenderaan.
  • Bantuan turut digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan persiapan Deepavali, membantu menampung keperluan harian.
  • Menteri memaklumkan pengagihan berperingkat kepada ribuan pemandu; pengagihan awal bagi pemandu Hindu sebelum sambutan Deepavali.

Pemandu teksi, Abdul Malik Abdullah berkata, bantuan itu memberi kelegaan ketika golongan berkenaan berdepan kekurangan penumpang serta peningkatan kos mengendalikan kenderaan.

“Penumpang semakin kurang, manakala kos mengendalikan kenderaan meningkat setiap tahun. Sekiranya ada inisiatif seperti ini setiap tahun, kami amat berterima kasih kepada kerajaan,” katanya kepada RTM.

Seorang lagi pemandu teksi, A. Kandiah berkata, bantuan itu bukan sahaja membantu menampung kos berkaitan kenderaannya, malah dimanfaatkan sedikit menampung perbelanjaan keluarga.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan ini. Kami juga menghadapi kesukaran dan bantuan ini boleh digunakan perbelanjaan teksi dan keluarga,” katanya.

Pemandu teksi Johor Bahru-Singapura, P. Moghan turut menyifatkan bantuan berkenaan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga serta membuat persiapan Deepavali.

“Duit bantuan ini memang dapat meringankan beban. Boleh digunakan untuk membeli barang keperluan termasuk makanan,” katanya.

Sementara itu, Bala Ganapathy berharap lebih banyak kemudahan serta bentuk bantuan dapat dipertimbangkan bagi membantu pemandu teksi.

“Kalau boleh, kami berharap mendapat lebih banyak faedah dan kemudahan untuk semua pemandu teksi bagi meringankan beban,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bantuan RM1,000 itu akan memanfaatkan kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.

Kumpulan pertama menerima bantuan mulai semalam, manakala penerima seterusnya akan menyusul secara berperingkat.

Menurut Loke, pengagihan awal dibuat bagi membolehkan pemandu beragama Hindu menerima bantuan sebelum sambutan Deepavali.

Bantuan berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu susulan hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri ‘H’.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.