China diminta siasat dakwaan mengenai komponen senjata Houthi

Dron dan peluru berpandu tiruan buatan Houthi dipamerkan di sebuah dataran di Sanaa, Yaman pada Ogos lalu/ Foto AFP

SANAA, 15 Oktober – Kerajaan Yaman telah mengadakan perbincangan dengan Beijing berhubung dakwaan kumpulan Houthi cuba menggunakan teknologi buatan China untuk menghasilkan senjata, ketika perang saudara berpanjangan di negara itu semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan CAR mendakwa Houthi cuba menghasilkan peluru berpandu balistik jarak sederhana berteknologi tinggi.
  • Komponen khusus ditemui bersama dokumen penghantaran menyenaraikan pembekal dari China, namun AFP tidak dapat mengesahkannya secara bebas.
  • Houthi menyerang infrastruktur dan sasaran awam termasuk Aramco, lapangan terbang Riyadh dan kapal tangki, menyumbang kepada korban serta krisis kemanusiaan.

Menteri Luar Yaman, Afrah al-Zouba berkata, perkara itu dibincangkan dengan pihak China susulan laporan bahawa kumpulan Houthi yang disokong Iran cuba mendapatkan komponen buatan China bagi membantu penghasilan senjata.

“China ialah rakan kongsi dan kami telah membincangkan dengan mereka mengenai penggunaan produk dwiguna,” katanya ketika menjawab soalan AFP pada Rabu.

Beliau berkata, pihak China menunjukkan minat untuk mendapatkan sebarang maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan, sambil menegaskan sokongan Beijing terhadap kerajaan Yaman jelas.

Zouba berkata demikian dalam sidang media yang diadakan secara maya bagi membincangkan perang di Yaman, yang turut membabitkan Arab Saudi sebagai penyokong utama kerajaan negara itu.

Kenyataan berkenaan menyusuli laporan kumpulan Conflict Armament Research (CAR) yang mendakwa Houthi cuba menghasilkan peluru berpandu balistik jarak sederhana berteknologi tinggi.

CAR turut menyatakan kumpulan itu dipercayai sedang meluaskan rangkaian bekalannya di luar rangkaian yang mempunyai kaitan dengan Iran.

Beberapa komponen khusus untuk peluru berpandu ditemukan bersama dokumen penghantaran yang menyenaraikan pembekal dari China.

Bagaimanapun, AFP memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan dalam laporan berkenaan.

Houthi menggunakan senjata dron serta peluru berpandu balistik dan kruis untuk menyerang pasukan kerajaan Yaman dan infrastruktur awam di negara jiran, Arab Saudi, sehingga mengakibatkan korban jiwa.

Pertempuran kembali memuncak selepas gencatan senjata berakhir pada Julai lalu.

Houthi mendakwa telah menyerang kemudahan syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco, pada malam sebelumnya.

Kumpulan itu turut dikaitkan dengan serangan terbaharu yang menyasarkan lapangan terbang Riyadh, mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 kematian sejak 7 Oktober.

Serangan Houthi turut menyasarkan kapal tangki minyak di Laut Merah, yang menjadi laluan alternatif eksport minyak Arab Saudi selepas penutupan Selat Hormuz susulan konflik lebih meluas di Asia Barat.

China sejak sekian lama merupakan antara pembeli terbesar minyak mentah Arab Saudi.

Gabungan pimpinan Arab Saudi telah memberikan sokongan ketenteraan kepada kerajaan Yaman dalam memerangi Houthi sejak 2015.

Perang saudara berpanjangan itu mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius di negara berkenaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.