
BANGKOK, 15 Oktober – India dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2027, mengatasi Jepun, berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dikeluarkan pada Khamis sekali gus memperlihatkan perbezaan trajektori ekonomi kedua-dua negara Asia itu.
- IMF menaikkan unjuran pertumbuhan India 2026 kepada 7.0 peratus, memuji asas ekonomi kukuh, disiplin fiskal dan rizab besar.
- Jepun berdepan cabaran struktur: populasi menua, inflasi dan kos tenaga meningkat, mendorong Bank of Japan menaikkan kadar faedah.
- Pasaran saham Tokyo jatuh hampir lima peratus selepas saham teknologi merosot, manakala pelaburan AI memberi manfaat terhad kepada Jepun.
IMF menyatakan Jepun dijangka kekal sebagai ekonomi keempat terbesar dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal tahun ini. Bagaimanapun, India dijangka mengambil alih kedudukan itu pada 2027 dengan KDNK mencecah AS$4.52 trilion.
Jepun pula dijangka merosot ke kedudukan keenam pada 2027, di belakang India dan United Kingdom (UK), menurut unjuran itu.
India mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
Minggu ini, IMF menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi India bagi 2026 kepada 7.0 peratus.
Sebaliknya, Jepun berdepan cabaran struktur, termasuk populasi yang semakin menua, sehingga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lembap.
Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai ekonomi terbesar dunia, diikuti China dan Jerman.
Ketika mengumumkan Tinjauan Ekonomi Serantau Asia-Pasifik IMF pada Khamis, Pengarah IMF bagi Asia, Krishna Srinivasan, berkata India berada dalam kedudukan yang kukuh ketika berdepan kejutan harga tenaga susulan perang AS-Israel terhadap Iran.
“India memasuki tempoh ini dengan asas ekonomi yang sangat kukuh. Pertumbuhan ekonomi memberangsangkan, disiplin fiskal telah menjadi amalan, selain memiliki rizab yang besar.
“Oleh itu, dalam keadaan sedemikian, India berjaya menangani kejutan itu dengan baik,” katanya.
Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi Jepun diunjurkan perlahan kepada 0.7 peratus pada 2026, apabila negara itu terjejas teruk akibat kenaikan harga tenaga dan inflasi yang lebih meluas.
Keadaan itu mendorong Bank of Japan menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad.
Jepun yang sekian lama berdepan deflasi, iaitu penurunan harga barangan dan perkhidmatan secara berterusan, menyaksikan harga pengguna meningkat secara berterusan sejak musim bunga 2022.
Kenaikan mendadak harga tenaga susulan perang Iran turut meningkatkan tekanan inflasi itu.
Penyusutan nilai yen yang mencecah paras terendah dalam tempoh 40 tahun berbanding dolar AS pada musim panas lalu turut meningkatkan kos import negara berkenaan.
Populasi Jepun yang semakin menua juga terus membebankan aktiviti ekonominya.
Menurut Srinivasan ekonomi Jepun turut menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), namun manfaatnya tidak sebesar yang dinikmati negara jiran di rantau itu.
Indeks penanda aras Nikkei di Tokyo merosot hampir lima peratus pada Khamis, susulan kejatuhan saham teknologi apabila pelabur mula mempersoalkan potensi keuntungan sektor AI.- AFP