Lebih 15,000 veteran ATM disasar peroleh peluang kerjaya kedua

Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama KESUMA-MINDEF serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Lebih 15,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan memperoleh peluang kerjaya kedua menerusi MyBakat Veteran menjelang 2030, selepas menamatkan perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama KESUMA-MINDEF diselaraskan TalentCorp untuk memadankan kepakaran ketenteraan dengan keperluan industri dan peluang pekerjaan awam.
  • Penilaian kemahiran dua tahun sebelum bersara membolehkan veteran memperoleh kelayakan diploma dan meningkatkan peluang mendapat pekerjaan bergaji lebih baik.
  • Inisiatif memetakan kemahiran seperti mekanikal, penyelenggaraan kenderaan dan teknikal bagi membantu kira-kira 5,000 anggota yang bersara setiap tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sasaran itu disokong menerusi kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memperluas peluang kerjaya berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama yang diselaraskan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu bertujuan memadankan kepakaran ketenteraan dengan keperluan industri dan peluang pekerjaan awam.

“Setiap veteran ATM yang bersara akan menjalani penilaian kemahiran dua tahun sebelum bersara bagi membolehkan mereka memperoleh sekurang-kurangnya kelayakan diploma sekali gus meningkatkan peluang mendapat pekerjaan dengan gaji lebih baik selepas tamat perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama KESUMA-MINDEF dan Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran Di Bawah Inisiatif MyBakat Veteran hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, program itu turut melibatkan pemetaan kemahiran mengikut jawatan dalam ATM sebelum dipadankan dengan keperluan industri dan kekosongan pekerjaan bersesuaian.

Beliau berkata, antara kemahiran diiktiraf termasuk bidang mekanikal, penyelenggaraan kenderaan dan teknikal, bergantung pada pengalaman serta tugas anggota sepanjang perkhidmatan.

“Kalau kita tidak tangani perkara ini, mereka akan memasuki pasaran kerja hanya dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditawarkan gaji rendah,” tegas beliau.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, kira-kira 5,000 anggota ATM bersara setiap tahun, sekali gus menjadikan inisiatif itu penting bagi membantu mereka meneruskan kerjaya dan kekal produktif selepas tamat perkhidmatan.

Beliau turut berharap anggota yang bakal bersara memanfaatkan inisiatif itu bagi meneruskan sumbangan kepada negara tanpa bergantung sepenuhnya pada bantuan kebajikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.