
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Pembinaan Stadium Luncur Ais Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sempena persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 bukan sekadar pembangunan fasiliti sukan, malah berpotensi menjadi pelaburan jangka panjang yang menjana penjimatan kos perbelanjaan latihan serta membuka peluang pekerjaan kepada bekas atlet negara.
- Menjimatkan kos latihan domestik, anggaran penjimatan sekitar RM15 juta dalam tempoh lima tahun.
- Menjana peluang pekerjaan untuk bekas atlet, sasaran awal 75 pekerja, meningkat kepada 140 dalam lima tahun.
- Berpotensi menjadi pusat latihan serantau dan penganjuran kejohanan antarabangsa, merancakkan ekonomi tempatan melalui pelancongan dan perkhidmatan.
Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Datuk Mohamad Fadzli Johan berkata, kewujudan fasiliti khusus itu membolehkan atlet negara menjalani latihan di dalam negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pusat latihan di luar negara.
Menurut beliau, penjimatan perbelanjaan latihan itu boleh dimanfaatkan semula untuk pembangunan atlet dan pengukuhan ekosistem sukan ais negara
“Kita boleh menjimatkan perbelanjaan, menjana pekerjaan dan perniagaan. Kita tidak perlu lagi menghantar atlet ke luar negara untuk menjalani latihan. Dalam tempoh lima tahun, kita menganggarkan penjimatan yang boleh dicapai sekitar RM15 juta.” Katanya.
Selain penjimatan kos, projek berkenaan turut memberi penekanan terhadap kebajikan bekas atlet yang berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan kerjaya sukan.
Datuk Mohamad Fadzli berkata, stadium itu berpotensi menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, termasuk kejurulatihan, pengurusan fasiliti, kecergasan, rehabilitasi, hospitaliti dan pengurusan acara sukan.
Pada peringkat awal, kira-kira 75 bekas atlet disasarkan untuk diambil bekerja, dengan jumlah itu berpotensi meningkat kepada 140 orang dalam tempoh lima tahun, bergantung kepada perkembangan operasi dan kemampuan kewangan pusat berkenaan.
“Bagi saya, pingat itu penting, tetapi kebajikan bekas atlet juga perlu diukur. Jika mereka mewakili negara ke seluruh dunia, tetapi pulang tanpa pekerjaan, kita telah gagal. Pulangan pelaburan yang kita mahukan ialah memastikan atlet ini mempunyai peluang pekerjaan untuk tempoh 20 hingga 30 tahun ” Jelasnya
Dalam pada itu, fasiliti berkenaan turut berpotensi dibangunkan sebagai pusat latihan serantau bagi menarik atlet dan jurulatih antarabangsa, selain membuka peluang penganjuran kejohanan serta kem latihan bertaraf antarabangsa.
Kehadiran peserta dan pengunjung dari luar negara juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat menerusi permintaan terhadap sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan sokongan.
Pada masa sama, penyediaan gelanggang khusus dijangka dapat memperluas akses kepada sukan luncur ais, khususnya dalam kalangan generasi muda yang selama ini berdepan kekangan kos dan kemudahan latihan.
Bagaimanapun, manfaat ekonomi dan penjimatan yang disasarkan perlu disokong oleh perancangan kewangan terperinci, termasuk kos pembinaan, operasi, penyelenggaraan serta penggunaan tenaga bagi memastikan stadium berkenaan dapat beroperasi secara mampan.
Sebelum ini, ISAM mencadangkan pembinaan Stadium Luncur Ais Kebangsaan bernilai RM15 juta itu sebagai sebahagian daripada legasi Sukan SEA 2027.
Projek berkenaan dirancang mengambil masa 24 bulan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, merangkumi pembinaan gelanggang ais bersaiz Olimpik, pusat latihan berprestasi tinggi serta kemudahan bagi penganjuran pertandingan antarabangsa.