
GUA MUSANG, 12 Oktober -Ketiadaan angka sebenar individu tanpa dokumen pengenalan diri menjadi cabaran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam mengenal pasti masyarakat Orang Asli dan masyarakat asal yang masih tercicir daripada sistem pendaftaran negara.
- JPN hanya dapat kenal pasti individu tanpa dokumen apabila mereka hadir mendapatkan perkhidmatan JPN.
- JPN komited melaksanakan program turun padang menyediakan permohonan MyKad pertama, penggantian kad, sijil kelahiran dan sijil kematian.
- Van bergerak JPN mendapat sambutan menggalakkan di Pos Balar dengan lebih 30 permohonan MyKad kali pertama.
- Usaha berterusan penting untuk memudahkan akses dokumentasi penduduk pedalaman dan mengatasi keciciran pendaftaran masyarakat asal.
Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pihaknya hanya dapat mengenal pasti individu berkenaan apabila mereka tampil mendapatkan perkhidmatan JPN, sekali gus menyukarkan usaha menentukan jumlah sebenar mereka yang masih belum mempunyai kad pengenalan atau sijil kelahiran.
Beliau berkata isu itu bukan sahaja melibatkan masyarakat Orang Asli di Semenanjung, malah masyarakat asal di Sabah dan Sarawak yang dipercayai masih mempunyai individu tanpa dokumen pengenalan diri.
“Bukan kami tahu berapa yang tidak ada, kami pun tidak tahu berapa orang yang akan hadir tetapi alhamdulillah kami telah menerima lebih daripada 30 permohonan daripada individu berusia 12 tahun,” katanya pada sidang media selepas Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar di sini hari ini.
Beliau berkata JPN komited melaksanakan program turun padang bagi mendekati masyarakat di kawasan pedalaman, termasuk menyediakan perkhidmatan permohonan kad pengenalan kali pertama, penggantian kad pengenalan serta urusan berkaitan sijil kelahiran dan sijil kematian.
Datuk Badrul Hisham berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan dokumentasi, selain membantu menangani isu keciciran pendaftaran dalam kalangan masyarakat berkenaan.
Sementara itu, pada program berkenaan, lebih 30 kanak-kanak Orang Asli berusia 12 tahun di Pos Balar di sini membuat permohonan kad pengenalan buat kali pertama menerusi program turun padang JPN sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan hari ini.
Datuk Badrul Hisham berkata sambutan terhadap perkhidmatan dokumentasi yang disediakan menerusi van bergerak JPN amat menggalakkan, dengan masyarakat setempat turut mengambil kesempatan mendapatkan perkhidmatan penggantian kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Beliau berkata jumlah permohonan MyKad kali pertama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun itu dijangka meningkat berikutan masih ramai penduduk yang beratur untuk mendapatkan perkhidmatan JPN ketika program berlangsung.
“Untuk hari ini, kami mendapati lebih 30 individu membuat permohonan kad pengenalan kali pertama (12 tahun) dan kalau kita lihat di van bergerak, masih ramai lagi yang beratur,” katanya.
Beliau berkata program Menyemai Kasih Rakyat itu adalah sebahagian daripada komitmen JPN untuk mendekati masyarakat di kawasan pedalaman bagi memudahkan mereka mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Selain permohonan MyKad kali pertama, beliau berkata JPN turut menyediakan perkhidmatan penggantian kad pengenalan serta urusan berkaitan sijil kelahiran dan sijil kematian.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman mendapat akses lebih mudah kepada perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang disediakan kerajaan. – BERNAMA