
PUTRAJAYA, 12 Oktober – Bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 secara sekali beri kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan mula diagihkan secara berperingkat bermula Rabu ini.
- Manfaat kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pengusaha atau pemandu bas sekolah.
- Kerajaan komited menyalurkan bantuan segera supaya pemandu beragama Hindu menerima sebelum sambutan Deepavali.
- Hasil bantuan dibiayai daripada penjualan nombor pendaftaran istimewa siri H yang menjana RM9.1 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan itu memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pengusaha atau pemandu bas sekolah.
Beliau berkata, kerajaan komited menyalurkan bantuan itu dalam tempoh terdekat, khususnya bagi membolehkan pemandu beragama Hindu menerima bantuan sebelum sambutan Deepavali.
“Kita menjemput pemandu teksi dan bas sekolah datang ke Kementerian Pengangkutan (MOT) kita akan beri baucar pada Rabu ini.”
“Ada yang bertanya mengapa bantuan ini boleh diberikan walaupun Belanjawan 2027 baru dibentangkan dan belum diluluskan. Saya ingin menjelaskan bahawa hasil daripada penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri H yang diumumkan oleh Perdana Menteri telah pun diperoleh pada tahun ini.
“Siri H itu telah menjana pendapatan sebanyak RM9.1 juta dan hasil berkenaan akan dikembalikan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah,” katanya.
Pengagihan secara berperingkat itu dijangka diteruskan sejurus penyerahan kumpulan pertama pada Rabu ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media susulan pembentangan Belanjawan 2027 di sini hari ini.