
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Bomba FC mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) buat kali pertama selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final edisi ke-104 di Arena Universiti Malaya (UM), malam tadi.
- Kemenangan menebus kekecewaan setelah Bomba FC menjadi naib juara edisi 2024.
- Muhammad Nor Hakimi Hasbullah menjaringkan penalti; Muhammad Amirul Farhan menyamakan kedudukan.
- Kapten Rusdi Rafid dilayangkan kad merah, Bomba FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
- Muhammad Amirul Farhan dipilih Pemain Terbaik PERR 2026; juara bawa pulang RM40,000, naib juara RM20,000.
Kejayaan itu diraih selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan sebelum Bomba FC memanfaatkan peluang dalam penentuan sepakan penalti untuk membawa pulang trofi kejuaraan.
Lebih bermakna, kemenangan itu turut menebus kekecewaan Bomba FC yang muncul naib juara pada edisi 2024 selepas tewas 1-2 kepada MySPRM-ACeIO.
Bomba FC membuka jaringan menerusi sepakan penalti Muhammad Nor Hakimi Hasbullah pada babak pertama sebelum Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Amirul Farhan pada babak kedua.
Cabaran Bomba FC bertambah sukar apabila kapten pasukan, Rusdi Rafid, dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun, Bomba FC berjaya mempertahankan kedudukan 1-1 sehingga tamat masa sebenar dan masa tambahan, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Ketua jurulatih Bomba FC, Mazerul Mohd Mohayudin berkata, komitmen dan disiplin pemain menjadi faktor penting dalam memastikan pasukan terus bertahan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
“Memang kita agak kebuntuan selepas seorang pemain kena kad merah. Jadi, apa yang kita harapkan ialah komitmen daripada setiap pemain untuk melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik.
“Alhamdulillah, sepanjang 30 minit masa tambahan itu, kita dapat melaksanakan tugasan berkenaan dengan baik,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pemain Negeri Sembilan, Muhammad Amirul Farhan, dipilih sebagai Pemain Terbaik PERR 2026.
Sebagai juara, Bomba FC membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta piala pusingan dan pingat, manakala Negeri Sembilan menerima RM20,000 selaku naib juara.
Kejayaan itu menamatkan penantian Bomba FC untuk menjulang trofi berkenaan, sekali gus melakar sejarah baharu dalam penyertaan mereka pada kejohanan tersebut.