Belanjawan 2027 perkukuh daya saing ekonomi negara – Khazanah

Foto Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyambut baik Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing ekonomi negara, meningkatkan pendapatan rakyat serta memperluas peluang pertumbuhan berkualiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan kepada sektor strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, perusahaan dan bakat untuk memperkukuh asas perindustrian dan peluang bernilai tinggi.
  • Sokongan meningkatkan bahagian pendapatan buruh termasuk penetapan penanda aras gaji kehidupan wajar RM3,400 sebulan bagi pekerja GLIC dan GLC.
  • Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor melalui Dana Pelaburan Strategik RM50 juta setiap satu untuk ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju.
  • Menggembeleng modal melalui Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI dan program GEAR-uP untuk pelaburan berimpak.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, belanjawan itu berpotensi memperkukuh sektor strategik bagi membina ekonomi negara yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Belanjawan ini memberikan penekanan bukan sahaja kepada pertumbuhan, malah pertumbuhan yang berkualiti. Tumpuannya terhadap sektor dan bidang strategik seperti semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, pembangunan perusahaan dan bakat.

“Keutamaan ini amat penting untuk memperkukuh asas perindustrian Malaysia, meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mewujudkan peluang bernilai lebih tinggi untuk perniagaan dan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, langkah yang digariskan dalam dokumen fiskal itu turut mencerminkan pendekatan pembangunan negara yang lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim.

“Khazanah turut menyokong usaha kerajaan meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk menaikkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400 sebulan bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya lagi.

Datuk Amirul Feisal berkata, Khazanah juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor menerusi Dana Pelaburan Strategik, dengan peruntukan masing-masing RM50 juta bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju.

“Khazanah juga menyambut baik pelaburan dalam sektor tenaga, termasuk pelaburan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam grid nasional serta pelaburan UEM Lestra sebanyak RM1 bilion dalam tenaga boleh baharu bagi menyokong keterjaminan bekalan, kemampuan kos dan kemampanan sektor tenaga negara,” jelasnya.

Khazanah turut komited menggembleng modal dan keupayaan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI dan Yayasan Hasanah.

“Usaha itu juga dilaksanakan melalui kerjasama dengan GLIC lain di bawah program GEAR-uP kendalian Kementerian Kewangan bagi memperkukuh pelaburan berimpak, pembangunan perusahaan dan bakat serta daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.