
BUKIT JALIL, 10 Oktober – Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 menyambut baik peruntukan RM240 juta bagi persiapan penganjuran Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 tahun depan.
- Tema rasmi MASOC 2027 "Raikan Perpaduan" menekankan semangat kesukanan, kebersamaan dan kebanggaan terhadap negara.
- Persiapan diperkukuh untuk memastikan mutu penganjuran dan pengalaman penonton yang lebih tersusun.
- Tumpuan khusus diberikan kepada keterangkuman atlet para bagi memastikan penyertaan dan pengalaman saksama.
- Sukan SEA ke-34 dijadual 18-29 Sept 2027 di KL, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang; Sukan Para ASEAN 17-23 Okt 2027 di KL.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan Malaysia bersedia menganjurkan kedua-dua temasya berkenaan dengan jayanya.
“Penganjuran itu bukan sekadar medan persaingan atlet, malah platform menyatukan rakyat serta mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Aspirasi berkenaan selari dengan tema rasmi MASOC 2027, iaitu “Raikan Perpaduan”, yang menekankan semangat kesukanan, kebersamaan dan kebanggaan terhadap negara,” menurut kenyataan itu.
Peruntukan itu juga memberi keyakinan kepada pihak penganjur untuk meneruskan persiapan secara lebih tersusun, termasuk memastikan mutu penganjuran, pengalaman penonton dan keterangkuman atlet para diberi perhatian.
Datuk Abdul Rashid menegaskan, MASOC 2027 komited melaksanakan persiapan dengan penuh tanggungjawab serta memastikan penggunaan peruntukan secara berhemah bagi menghasilkan temasya bertaraf antarabangsa yang membanggakan.
Sukan SEA ke-34 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Sukan Para ASEAN ke-14 akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur.