JPJ perkukuh keselamatan jalan raya

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkukuh penguatkuasaan keselamatan jalan raya menerusi cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan sistem telematik mandatori bagi kenderaan perdagangan memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, dengan kemungkinan integrasi pengesan alkohol.
  • Pelaksanaan awal bersifat sukarela hingga 2027 dan pembangunan pangkalan data pemandu menyokong penguatkuasaan berkesan.
  • Bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi dan bas sekolah; MOT dan JPJ bekerjasama dengan agensi termasuk PERKESO untuk keselamatan dan kebajikan.

Inisiatif ini antara tiga langkah utama yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, melindungi kebajikan mangsa kemalangan serta memperkukuh kesejahteraan golongan pemandu, khususnya pemandu teksi dan bas sekolah.

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi JPJ dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, cadangan pindaan itu bertujuan memastikan mangsa dan keluarga yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya, selain memperkukuh tindakan terhadap pesalah.

“kerajaan akan melaksanakan sistem telematik secara mandatori bagi kenderaan perdagangan untuk memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, termasuk kemungkinan integrasi dengan alat pengesan alkohol.

“Pelaksanaan sistem berkenaan akan dibuat secara sukarela sehingga 2027 bagi memberi ruang kepada pengendali kenderaan membuat persediaan, manakala pembangunan pangkalan data pemandu akan dilaksanakan bagi menyokong penguatkuasaan yang lebih berkesan,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan sama, bantuan khas sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada pemandu teksi dan bas sekolah mulai minggu hadapan menggunakan hasil kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri H.

JPJ berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengembalikan manfaat hasil kutipan jabatan kepada rakyat, khususnya golongan pemandu yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan pengangkutan negara.

MOT dan JPJ turut komited memastikan semua inisiatif berkenaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan, termasuk melalui kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi pemeriksaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan.

Usaha itu bagi memastikan keselamatan, kebajikan serta kepentingan semua pengguna jalan raya terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.