Insiden Virgo Transport 8: Polis Indonesia tahan 4, termasuk 3 pegawai syarikat perkapalan

Pegawai penyelamat membawa beg mayat yang mengandungi jasad mangsa nahas kapal Virgo Transport 8/ AFP

JAKARTA, 9 Oktober- Polis Indonesia menahan empat suspek termasuk tiga pegawai syarikat perkapalan, berhubung kemalangan feri KM Virgo Transport 8 yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan ramai masih hilang di perairan Kalimantan Selatan, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Feri membawa 243 penumpang dan 89 kenderaan hilang hubungan 13 September, kemudian terbalik dan karam di perairan Kalimantan Selatan.
  • Setakat 6 Oktober, 108 orang diselamatkan, 82 disahkan meninggal dunia dan 53 masih hilang.
  • Polis menyiasat dakwaan kecuaian dan kemungkinan penglibatan pegawai syarikat menurut Undang-Undang Pelayaran serta Kanun Jenayah.

Ketua Biro Penerangan Awam Polis Negara, Brig Jen Trunoyudo Wisnu Andiko berkata suspek terdiri daripada nakhoda feri yang ditahan sejak 25 September serta tiga pegawai PT Virgo Karya Shipping, pengendali feri berkenaan, yang ditahan pada 4 Oktober.

“Siasatan bukan sahaja ditumpukan kepada mereka yang mengendalikan kapal secara langsung, tetapi turut meneliti penglibatan pegawai syarikat apabila terdapat bukti yang menunjukkan kemungkinan penyertaan atau bantuan mereka dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Feri yang membawa 243 penumpang dan 89 kenderaan itu hilang hubungan pada 13 Sept ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur, ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, sebelum terbalik dan kemudian karam.

Menurut angka operasi mencari dan menyelamat, sehingga 6 Oktober, seramai 108 orang terselamat, 82 disahkan meninggal dunia dan 53 masih hilang.

Trunoyudo berkata tiga pegawai syarikat itu terdiri daripada seorang ejen, pengurus operasi dan pengurus besar cawangan Surabaya.

Penyiasat sedang meneliti dakwaan kecuaian serta kemungkinan penglibatan mereka dalam kemalangan itu.

Beliau berkata keempat-empat suspek ditahan di pusat tahanan Polis Kalimantan Selatan, dengan tempoh tahanan nakhoda sehingga 14 Oktober manakala tiga pegawai syarikat sehingga 23 Oktober.

Beliau berkata polis menyiasat keempat-empat suspek mengikut peruntukan Undang-Undang Pelayaran dan Kanun Jenayah Indonesia berkaitan dakwaan kecuaian, penyertaan serta bantuan dalam kemalangan itu. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.