
SEPANG, 8 Oktober – Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing berlepas pulang hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.
- Bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sesi perbincangan di Putrajaya.
- Menghadiri Dialog Kerjasama Malaysia-Myanmar secara tertutup bersama pemimpin kedua-dua negara.
- Lawatan memberi ruang memperkukuh hubungan dua hala dan membincangkan isu kepentingan bersama.
Beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pada pukul 1.30 tengah hari sebelum menaiki pesawat persendirian yang berlepas kira-kira pada pukul 2.15 petang.
Turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Myanmar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sebelum berlepas, beliau menerima album kenangan daripada Datuk Seri Johari yang memaparkan perjalanan lawatan rasmi beliau di Malaysia.
Terdahulu, beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi perbincangan di Putrajaya.
Kedua-dua pemimpin turut menghadiri sesi Dialog Kerjasama Malaysia-Myanmar yang diadakan secara tertutup pagi tadi.
Sesi berkenaan kemudiannya disusuli majlis makan tengah hari yang diserikan dengan persembahan tarian selamat datang oleh kumpulan penari Istana Budaya.
Lawatan rasmi itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Myanmar, selain membincangkan isu berkepentingan bersama.