JDT jangka aksi sengit, berdepan PKR Svay Rieng

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 7 Oktober – Johor Darul Takzim (JDT) menjangkakan perlawanan yang mencabar, menentang PKR Svay Rieng, pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN 2026/2027 di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Xisco tekankan penguasaan bola sebagai fokus utama untuk mendapatkan kelebihan.
  • JDT perlu ambil iktibar pertemuan Disember lalu, elak ulangi kesilapan; sasaran kemenangan bersih dan keseimbangan pasukan.
  • PKR Svay Rieng akan tampil agresif, kedua-dua pasukan kini miliki pemain berkualiti tingkatkan rentak permainan.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, penguasaan bola menjadi antara fokus utama pasukan, untuk mendapat kelebihan menentang kelab Kemboja itu.

Beliau berkata pasukannya juga perlu mengambil iktibar daripada pertemuan terdahulu kedua-dua pasukan pada Disember tahun lepas bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

“kami bermain di laman sendiri dan perkara paling penting adalah kami perlu belajar tentang kesilapan kami lakukan pada perlawanan Disember lalu. Paling penting untuk kami mendapatkan kemenangan bersih esok (Khamis), selain memastikan kami mendapat keseimbangan pasukan,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Sementara itu, pemain JDT Shane Lowry berkata, kedua-dua pasukan memiliki pemain berkualiti dan menjangkakan ia satu perlawanan yang menarik.

“Kami tahu pasukan ini mempunyai ramai pemain berkualiti dan mereka juga melakukan beberapa perubahan terhadap skuad berbanding musim lalu, sama seperti kami. Saya rasa kualiti pemain kedua-dua pasukan semakin meningkat dan ia akan menyumbang kepada rentak permainan,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PKR Svay Rieng Matthew Mervyn McConkey berkata, pasukannya akan tampil dengan pendekatan agresif ketika berdepan JDT.

“Mereka mempunyai pemain yang baik di setiap posisi, terutama dari segi terjahan yang bagi saya agak berbahaya. Oleh itu, saya tidak fikir kami boleh memberi tumpuan kepada hanya satu atau dua pemain. Idea utama kami adalah untuk bermain secara agresif bagi mendapatkan bola dan bukan hanya ketika kami menguasai bola,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.