
IPOH, 6 Oktober – Kerajaan Perak akan meneliti kemungkinan mengenakan tindakan terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal menjaga keselamatan aset mereka bagi membendung kegiatan pencurian kabel dan vandalisme.
- Syarikat telekomunikasi perlu memperkukuh kawalan keselamatan kabel dan peralatan mereka, jangan bergantung kepada bantuan kerajaan negeri.
- Pemilik aset wajib memainkan peranan aktif dalam pemeliharaan bagi mengurangkan risiko kecurian dan vandalisme.
- Akta 235 akan dikenakan tindakan berat terhadap pihak yang merosakkan atau melakukan vandalisme terhadap tunggak.
- Cadangan tindakan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa, kemudian dikemukakan kepada MCMC untuk perhalusan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, syarikat telekomunikasi perlu memperkukuh kawalan keselamatan kabel dan peralatan mereka serta tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan negeri.
“Kalau mereka gagal menjaga harta mereka sendiri, mungkin kita akan berbincang untuk mengenakan tindakan terhadap mereka.
“Akta 235 sudah tentu kita akan kenakan tindakan berat terhadap sesiapa yang merosakkan atau melakukan vandalisme terhadap tunggak. Namun, pemilik aset juga perlu memainkan peranan untuk memeliharanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik antara Digital Perak dengan CyberSecurity Malaysia di Stadium Indera Mulia, di sini.
Cadangan tindakan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan dalam beberapa minggu lagi sebelum dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diperhalusi.