Warisan budaya perlu dilihat, bukan sekadar disimpan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG,

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeliharaan harus melibatkan pemindahan pengetahuan dan latihan amali, bukan sekadar menyimpan objek atau arkib.
  • Dokumentasi, visual dan teknologi perlu digunakan sebagai bahan pengajaran interaktif untuk menarik generasi muda tanpa menghapus identiti tradisi.
  • Kerjasama universiti, komuniti dan industri serta nilai ekonomi penting bagi memastikan kemahiran diwarisi dan terus diamalkan.

Warisan budaya perlu dilihat, bukan sekadar disimpan. Ia perlu difahami, dipelajari, diamalkan dan disesuaikan dengan kehidupan semasa supaya terus mempunyai tempat dalam masyarakat.

Kita sering melihat usaha pemeliharaan warisan melalui muzium, galeri, arkib, dokumentasi, pameran dan koleksi. Semua usaha ini penting kerana tanpa rekod, banyak bentuk, motif, teknik dan cerita berkaitan warisan mungkin hilang bersama perubahan zaman.

Namun, pemeliharaan tidak seharusnya berhenti pada usaha menyimpan objek atau merekod sejarahnya.

Anyaman mengkuang, batik, tekat, Labu Sayong, songket, ukiran kayu dan wayang kulit bukan sekadar hasil seni tradisional. Setiap satunya mengandungi pengetahuan, kemahiran, kreativiti, nilai estetika dan cara hidup masyarakat terdahulu.

Warisan tersebut terbentuk melalui proses panjang yang melibatkan manusia, alam sekitar, bahan tempatan dan pengalaman yang dipindahkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Jabatan Warisan Negara turut mengiktiraf pelbagai hasil seni dan kraf sebagai Warisan Kebangsaan, termasuk Batik Malaysia, Tekat, Anyaman Mengkuang dan Labu Sayong.

Pengiktirafan seperti ini penting sebagai tanda bahawa khazanah tersebut mempunyai nilai budaya yang perlu dipelihara.

Namun, kelangsungan sesuatu warisan akhirnya bergantung kepada kemampuan masyarakat untuk memastikan pengetahuan dan kemahiran di sebaliknya terus dipelajari.

Warisan bukan hanya tentang apa yang telah ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Warisan juga tentang apa yang mampu diteruskan oleh generasi hari ini.

Menyimpan Objek Tidak Mencukupi

Pemeliharaan warisan tidak seharusnya berakhir dengan menyimpan, merekod dan mempamerkan.

Kita boleh memiliki muzium yang menyimpan koleksi tikar mengkuang, batik, tembikar dan hasil tekstil tradisional. Kita juga boleh mempunyai arkib yang lengkap dengan gambar, video dan dokumen berkaitan sesuatu kraf.

Namun, sekiranya semakin sedikit generasi muda yang mengetahui cara menghasilkan kraf tersebut, kita sebenarnya hanya berjaya menyimpan hasil akhirnya tanpa memastikan ilmu untuk menghasilkannya terus hidup.

Bayangkan suatu masa nanti masih terdapat tikar mengkuang lama dalam koleksi muzium, tetapi semakin sukar mencari generasi muda yang mengetahui cara menyediakan daun mengkuang, menghasilkan jalur, menyusun helaian dan membentuk corak kelarai.

Objeknya masih ada, tetapi pengetahuan yang menjadikannya warisan semakin hilang.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada batik. Batik boleh terus dipamerkan sebagai kain tradisional yang indah, tetapi makna pemeliharaan menjadi lebih besar apabila masih terdapat individu yang mengetahui proses mencanting, memilih bahan, menghasilkan corak dan memahami prinsip pembuatannya.

Begitu juga dengan Labu Sayong, tekat, songket dan pelbagai kraf tradisional lain. Kelangsungan warisan bukan hanya bergantung kepada kewujudan produk, tetapi juga kepada kewujudan manusia yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan dan menerangkannya.

Oleh itu, ukuran kejayaan pemeliharaan tidak sepatutnya hanya berdasarkan jumlah koleksi yang berjaya disimpan. Kita juga perlu melihat jumlah pengetahuan yang berjaya dipindahkan dan jumlah generasi baharu yang mampu menghargai serta mengamalkannya.

Dokumentasi Sebagai Permulaan Pewarisan

Dokumentasi tetap menjadi asas penting dalam pemeliharaan warisan. Fotografi, rakaman video, penulisan, katalog dan arkib digital dapat merekodkan bentuk, motif, bahan, teknik dan proses penghasilan sesuatu warisan.

Dalam konteks seni dan komunikasi visual, dokumentasi mempunyai kekuatan tersendiri kerana sesuatu proses yang sukar diterangkan melalui tulisan boleh diperlihatkan melalui imej.

Gerakan tangan seorang penganyam, susunan jalur mengkuang, proses mencanting batik atau pembentukan tembikar dapat dirakam dan disampaikan kepada khalayak dengan lebih jelas.

Namun, dokumentasi sepatutnya menjadi titik permulaan pewarisan, bukan titik akhir pemeliharaan.

Sebuah rakaman video tentang seorang tukang mahir tidak banyak membantu sekiranya rakaman itu hanya tersimpan dalam arkib.

Begitu juga koleksi gambar motif tradisional tidak akan memastikan kelangsungan warisan sekiranya generasi muda tidak diberikan peluang untuk memahami dan menghasilkan motif tersebut.

Dokumentasi perlu bergerak daripada sekadar penyimpanan kepada penggunaan.

Bahan yang telah direkodkan boleh dijadikan modul pengajaran, video pembelajaran, bahan pameran interaktif, kandungan media sosial, bahan pendidikan sekolah dan sumber rujukan untuk pelajar universiti.

Pengetahuan daripada penggiat warisan juga boleh dipindahkan melalui bengkel, latihan dan pembelajaran secara langsung.

Dengan pendekatan ini, dokumentasi bukan sekadar menjawab persoalan tentang bagaimana warisan itu kelihatan, tetapi turut membantu menjawab persoalan tentang bagaimana warisan itu boleh terus dipelajari.

Visual Menghubungkan Warisan dengan Generasi Baharu

Dalam masyarakat hari ini yang semakin bergantung kepada komunikasi visual, cara warisan dipersembahkan turut menentukan sejauh mana masyarakat mahu mendekatinya.

Warisan yang hanya diterangkan melalui teks mungkin sukar menarik perhatian generasi muda. Sebaliknya, fotografi, video, ilustrasi, animasi, infografik, reka bentuk dan media sosial mampu menjadikan warisan lebih dekat dengan pengalaman harian mereka.

Visual bukan sekadar hiasan. Visual boleh menjadi jambatan untuk memahami makna di sebalik sesuatu warisan.

Apabila kita melihat anyaman mengkuang, kita bukan sekadar melihat corak yang tersusun. Kita dapat melihat bagaimana masyarakat menggunakan sumber alam di sekeliling mereka dan mengubah bahan tersebut menjadi sesuatu yang berguna serta mempunyai nilai estetika.

Labu Sayong pula memperlihatkan hubungan manusia dengan tanah sebagai bahan semula jadi. Tekstil tradisional memperlihatkan bagaimana serat, warna, corak dan teknik tangan digabungkan untuk menghasilkan karya yang mempunyai identiti.

Ukiran kayu pula menunjukkan bagaimana bahan semula jadi diterjemahkan melalui kemahiran dan kreativiti.

Dalam konteks ini, warisan budaya turut menjadi rekod visual tentang cara manusia berinteraksi dengan alam, fungsi dan keindahan.

Hal ini penting untuk difahami oleh generasi muda. Mereka tidak seharusnya mengenali warisan hanya sebagai “barang lama”. Mereka perlu melihat cerita di sebalik bahan, bentuk, motif dan proses penghasilannya.

Fotografi boleh menunjukkan perincian yang mungkin tidak disedari oleh mata kasar. Video boleh memperlihatkan proses pembuatan. Animasi boleh menerangkan konsep yang kompleks. Infografik boleh menyusun maklumat supaya mudah difahami.

Media sosial pula boleh membawa kandungan tersebut kepada khalayak yang lebih luas.

Apabila warisan disampaikan dalam bahasa visual yang dekat dengan generasi semasa, peluang untuk mereka mengenali dan menghargainya menjadi lebih besar.

Teknologi Sebagai Alat untuk Menghidupkan Warisan

Teknologi dan inovasi juga tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada warisan. Sebaliknya, teknologi boleh digunakan untuk membantu memudahkan kerja, mempercepatkan proses tertentu, meningkatkan akses kepada pengetahuan dan membuka ruang baharu untuk pembelajaran.

Dalam penghasilan kraf, inovasi boleh membantu mengurangkan kerja yang terlalu berat atau mengambil masa yang panjang. Peralatan moden boleh digunakan bagi bahagian tertentu proses penghasilan tanpa menghapuskan pengetahuan asas yang menjadi identiti kraf tersebut.

Prinsipnya adalah jelas. Teknologi sepatutnya membantu manusia, bukannya menghilangkan nilai pengetahuan manusia.

Teknologi digital pula membuka peluang yang lebih luas dalam pendidikan warisan. Proses menganyam boleh dirakam secara terperinci. Teknik mencanting boleh dijadikan video pembelajaran. Bentuk dan struktur sesuatu objek boleh diterokai melalui model digital.

Realiti maya pula berpotensi memberikan pengalaman kepada pelajar untuk melihat proses atau persekitaran yang sukar mereka akses secara fizikal.

Bagi generasi yang membesar dengan telefon pintar dan kandungan digital, pendekatan seperti ini boleh menjadi pintu masuk kepada warisan budaya.

Namun, penggunaan teknologi perlu dilakukan dengan berhati-hati. Inovasi tidak seharusnya menghapuskan identiti asal sesuatu warisan. Sebaliknya, teknologi perlu membantu masyarakat memahami nilai asal sebelum sesuatu bentuk baharu diperkenalkan.

Dengan kata lain, teknologi bukan pengganti kepada tradisi. Teknologi ialah alat yang boleh membantu tradisi terus dipelajari dan disampaikan.

Warisan Perlu Berkembang, Bukan Dibekukan

Memelihara warisan tidak bermaksud setiap bentuk tradisional mesti dikekalkan dalam keadaan yang sama tanpa sebarang perkembangan.

Warisan yang hidup sentiasa mempunyai ruang untuk berkembang mengikut keperluan masyarakat.

Anyaman mengkuang, misalnya, tidak perlu terhad kepada tikar dan bakul. Prinsip anyaman, keindahan kelarai dan penggunaan bahan semula jadi boleh diteroka dalam reka bentuk lampu, hiasan dalaman, produk kreatif dan pelbagai aplikasi kontemporari.

Batik pula tidak semestinya terhad kepada pakaian tradisional. Motif dan teknik batik boleh diteroka dalam reka bentuk produk, aksesori, pembungkusan, karya seni dan komunikasi visual.

Tekat boleh dikembangkan melalui karya seni dan reka bentuk moden, manakala Labu Sayong boleh diteroka melalui reka bentuk produk yang mengekalkan ciri penting tradisinya tetapi memenuhi keperluan pengguna semasa.

Seni persembahan juga memerlukan pendekatan yang sama. Wayang kulit mempunyai kekuatan visual yang besar melalui bentuk watak, bayang, naratif dan teknik persembahannya.

Unsur tersebut boleh menjadi sumber inspirasi untuk animasi, ilustrasi, filem pendek dan kandungan digital tanpa menghilangkan pengetahuan tentang bentuk persembahan asal.

Perkembangan seperti ini bukan bermaksud meninggalkan tradisi. Sebaliknya, ia memberikan peluang kepada tradisi untuk memasuki ruang kehidupan yang baharu.

Apa yang perlu dipelihara ialah nilai, pengetahuan, identiti dan prinsip asas sesuatu warisan. Bentuk penyampaiannya pula boleh berubah mengikut perkembangan zaman.

Belajar Daripada Warisan di Negara Lain

Usaha Malaysia untuk memastikan warisan terus hidup juga boleh mengambil iktibar daripada pendekatan negara lain.

Jepun, misalnya, mempunyai tradisi pembuatan tatami yang berkait rapat dengan kehidupan dan seni bina tradisionalnya. Selain memelihara objek dan ruang tradisional, aspek penting yang perlu diteruskan ialah kemahiran menghasilkan tatami itu sendiri.

Pendekatan seperti latihan dan pemindahan pengetahuan kepada generasi baharu menunjukkan bahawa kelangsungan warisan memerlukan pewaris yang mempunyai kemahiran, bukan sekadar koleksi objek yang berjaya disimpan. Prinsip ini boleh kita lihat dalam konteks Malaysia.

Kita mempunyai tikar mengkuang, tetapi kita juga memerlukan penganyam. Kita mempunyai batik, tetapi kita memerlukan pembuat yang memahami proses dan tekniknya. Kita mempunyai Labu Sayong, tetapi kita memerlukan generasi yang mahu belajar menghasilkan tembikar.

Kita mempunyai wayang kulit, tetapi kita memerlukan penggiat yang mampu meneruskan pengetahuan persembahan tersebut. Objek ialah hasil. Manusia dan pengetahuan ialah penggeraknya.

Universiti Sebagai Ruang Menghidupkan Warisan

Institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan yang besar dalam memastikan warisan tidak terputus daripada generasi baharu.

Universiti tidak seharusnya hanya menjadi tempat menghasilkan kajian tentang warisan. Universiti juga boleh menjadi ruang yang menghubungkan ilmu warisan dengan seni, reka bentuk, komunikasi, teknologi, pendidikan dan industri.

Dalam konteks Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pendekatan rentas bidang boleh membuka ruang yang luas untuk usaha ini.

Pelajar dalam bidang berkaitan seni, reka bentuk dan komunikasi boleh menghasilkan fotografi dokumentari, video, kempen visual, reka bentuk pembungkusan, produk kreatif dan bahan pendidikan berasaskan warisan tempatan.

Pada masa yang sama, teknologi boleh digabungkan melalui pembangunan kandungan digital, animasi, aplikasi interaktif atau pengalaman realiti maya.

Yang lebih penting, pembelajaran tidak sepatutnya berhenti di dalam bilik kuliah. Pelajar perlu diberikan peluang untuk bertemu dengan penggiat warisan, melihat proses penghasilan secara langsung dan mencuba sendiri kemahiran yang dipelajari.

Hubungan antara universiti dan komuniti juga perlu dibina secara dua hala. Penggiat warisan bukan sekadar sumber data untuk penyelidikan. Mereka ialah pemegang pengetahuan yang boleh menjadi rakan dalam proses pendidikan dan pewarisan.

Pendekatan ini boleh menjadikan universiti sebagai sebuah “makmal hidup warisan” yang membolehkan pelajar melihat, mencuba, menghasilkan dan menyampaikan semula warisan menggunakan bahasa generasi mereka.

Penyelidikan juga boleh bergerak daripada sekadar mendokumentasikan masalah kepada menghasilkan penyelesaian.

ajian tentang warisan boleh diteruskan kepada reka bentuk produk, inovasi pendidikan, teknologi digital, pembangunan bahan pembelajaran dan strategi komunikasi yang dapat membantu warisan mencapai khalayak lebih luas.

Masyarakat Perlu Menjadi Pewaris

Pada akhirnya, usaha pemeliharaan warisan tidak boleh hanya bergantung kepada muzium, kerajaan, universiti atau penggiat seni.

Masyarakat sendiri perlu menjadi sebahagian daripada proses pewarisan.

Sekolah boleh memberikan lebih banyak ruang kepada pembelajaran berasaskan amali. Universiti boleh memperluas kerjasama dengan komuniti. Keluarga boleh memperkenalkan anak-anak kepada kraf dan produk tempatan.

Industri kreatif pula boleh membantu meneroka bentuk produk baharu yang mempunyai nilai budaya dan nilai ekonomi.

Aspek ekonomi juga tidak boleh diketepikan. Jika sesuatu kemahiran tidak mempunyai nilai kepada penggiatnya, sukar untuk menarik generasi baharu meneruskannya.

Sebaliknya, apabila produk warisan mempunyai permintaan dan penggiat memperoleh pendapatan yang wajar, kemahiran tersebut mempunyai peluang lebih besar untuk diteruskan.

Oleh itu, kelestarian warisan bukan hanya persoalan budaya. Ia turut berkait dengan pendidikan, ekonomi, reka bentuk, teknologi dan keperluan masyarakat.

Warisan Perlu Dilihat untuk Terus Hidup

Kita perlu mengubah cara berfikir daripada “simpan supaya tidak hilang” kepada “hidupkan supaya terus diwarisi”.

Menyimpan objek, membina arkib dan menghasilkan dokumentasi tetap penting. Namun, semua itu hanyalah sebahagian daripada perjalanan pemeliharaan.

Warisan budaya akan terus hidup apabila masih ada tangan yang mampu menghasilkannya, mata yang mampu melihat keindahannya, minda yang mampu memahami maknanya dan generasi yang bersedia untuk meneruskannya.

Kita tidak mahu generasi akan datang hanya mengenali anyaman mengkuang melalui gambar, batik melalui buku, Labu Sayong melalui almari pameran atau wayang kulit melalui rakaman video.

Mereka perlu berpeluang melihatnya, menyentuhnya, mempelajarinya dan mencubanya sendiri.

Dokumentasi perlu menjadi jambatan kepada pembelajaran. Visual perlu menjadi bahasa yang mendekatkan warisan kepada masyarakat. Teknologi perlu menjadi alat yang membantu pewarisan.

Universiti perlu menjadi ruang untuk menghubungkan ilmu dengan generasi baharu. Industri pula perlu membuka ruang supaya warisan mempunyai nilai ekonomi dan tempat dalam kehidupan moden.

Warisan yang hidup bukan warisan yang tidak berubah. Warisan yang hidup ialah warisan yang masih mempunyai makna, masih diamalkan, masih dipelajari dan masih mampu berkembang tanpa kehilangan akar asalnya.

Kita tidak boleh mengukur kejayaan pemeliharaan hanya berdasarkan berapa banyak warisan yang berjaya disimpan. Kita juga perlu melihat berapa banyak pengetahuan yang berjaya dipindahkan dan berapa ramai generasi baharu yang mahu meneruskannya.

Warisan budaya tidak akan terus hidup hanya kerana kita menyimpannya dengan baik. Ia hidup apabila masih ada manusia yang mahu melihat, memahami, mempelajari, menghasilkan dan mewariskannya. Warisan budaya perlu dilihat, bukan sekadar disimpan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.


Dr. Mariam Idris
Pensyarah Kanan (Seni Visual dan Budaya)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis
E-mel: mariamidris@unimap.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.