Negara AI mesti jadi negara selamat – Wilson Ugak

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030 perlu disokong keupayaan membangunkan dan mentadbir teknologi secara bertanggungjawab, selain memastikan keselamatan serta kedaulatan digital negara terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunkan keupayaan tempatan untuk membina, menggunakan dan mentadbir AI secara bertanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan.
  • Kedaulatan digital tidak bermaksud penutupan; keterbukaan kepada teknologi dan pelaburan mesti disokong keupayaan tempatan.
  • Keselamatan siber merangkumi integriti maklumat, kesinambungan perkhidmatan, perlindungan data sensitif dan ketahanan digital kritikal.
  • Tingkatkan perlindungan data strategik, bina bakat serta syarikat tempatan dan infrastruktur yang berdaya tahan.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak berkata, menjadi Negara AI bukan sekadar meningkatkan penggunaan teknologi berkenaan, sebaliknya Malaysia perlu membangunkan keupayaan untuk membina, menggunakan dan mentadbir teknologi secara bertanggungjawab.

“Sebuah Negara AI juga mestilah sebuah negara yang selamat. AI bergantung kepada data. Data pula bergantung kepada infrastruktur, manakala infrastruktur bergantung kepada keselamatan. Pada akhirnya, kesediaan rakyat dan pemain industri untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital bergantung kepada kepercayaan. Tanpa kepercayaan dalam persamaan ini, keseluruhan aspirasi tersebut akan menjadi jauh lebih lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan CyberDSA 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Malaysia perlu bergerak daripada sekadar mengakses keupayaan teknologi pihak lain kepada membangunkan keupayaan teknologi sendiri.

Katanya lagi, kedaulatan digital tidak bermaksud Malaysia menutup diri daripada teknologi global, pelaburan antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan, sebaliknya keterbukaan perlu disokong keupayaan tempatan.

Ini termasuk meningkatkan keupayaan melindungi data strategik, membangunkan bakat dan syarikat tempatan serta membina infrastruktur yang mampu memberikan daya tahan lebih tinggi kepada negara.

Dalam pada itu, Datuk Wilson berkata, keselamatan siber bukan sekadar berkaitan usaha mencegah pencerobohan. Ia turut merangkumi usaha memelihara integriti maklumat, mengekalkan kesinambungan perkhidmatan ketika berdepan serangan siber, melindungi data sensitif dan strategik, serta memastikan keupayaan digital kritikal kekal berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai ancaman.

Beliau berkata, ketahanan keselamatan tidak boleh hanya ditambah selepas sesuatu sistem dibangunkan, sebaliknya aspek keselamatan perlu dirangka sejak peringkat awal.

Dalam perkembangan berkaitan, Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026 memasuki edisi keempat dan berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 7 Oktober di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

CyberDSA 2026 menghimpunkan wakil kerajaan, agensi pertahanan dan keselamatan, pengawal selia, peneraju industri, penyedia teknologi serta penyelidik.

Ruang pameran turut disertai 167 syarikat dan organisasi dari 21 negara, dengan pelbagai teknologi keselamatan siber termasuk perlindungan data, kriptografi, risikan ancaman, keselamatan rangkaian, awan, pertahanan siber dan infrastruktur AI.

CyberDSA 2026 membawa tema “Memacu AI yang Selamat, Memperkukuh Kepercayaan Digital dan Memelihara Kewibawaan Kedaulatan Data”, selaras dengan keperluan memastikan keselamatan bergerak seiring perkembangan teknologi dan pendigitalan yang pesat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.