F1: Petak utama Verstappen petanda Red Bull semakin kompetitif

Max Verstappen/ RTM

SEPANG, 4 Oktober- Max Verstappen meraih petak utama pertamanya musim ini pada sesi kelayakan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026, sekali gus memberi petanda penambahbaikan Red Bull Racing mula membuahkan hasil dalam saingan F1.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahbaikan pasukan berjaya mengatasi kelemahan kereta, meningkatkan pemahaman karakter jentera dan memperbaiki masa pusingan.
  • Keseimbangan kereta menjadi penting di Sepang; tayar sensitif memerlukan keseimbangan stabil untuk prestasi konsisten dalam keadaan panas.
  • Verstappen dominasi kelayakan dengan petak utama pertama musim ini, namun suhu, brek dan degradasi tayar masih tentukan keputusan perlumbaan.

Verstappen menguasai ketiga-tiga segmen Q1, Q2 dan Q3 pada aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini sebelum mencatat masa terpantas satu minit 35.130 saat untuk memastikan petak pertama.

Ia merupakan petak utama pertama juara dunia empat kali itu pada musim 2026, selain meletakkan Red Bull dalam kedudukan kukuh selepas Isack Hadjar mencatat masa ketiga terpantas.

Verstappen berkata perkembangan itu hasil daripada pemahaman lebih baik terhadap karakter jentera, selain beberapa penambahbaikan yang berjaya mengatasi sebahagian kelemahan kereta.

“Dalam beberapa perlumbaan terakhir, kami semakin memahami kereta ini. Pada masa sama, penambahbaikan yang dibawa turut membantu mengatasi beberapa kelemahannya,” katanya selepas sesi kelayakan.

Menurutnya, keberkesanan penambahbaikan berkenaan memberi kesan terus kepada keseimbangan keseluruhan jentera dan membantu pasukan memperoleh lebih banyak masa di litar.

“Apabila penambahbaikan itu berfungsi seperti yang diharapkan, masa pusingan menjadi lebih baik dan keseimbangan keseluruhan kereta juga meningkat,” katanya.

Beliau berkata aspek keseimbangan menjadi semakin penting di Sepang yang berlangsung dalam keadaan panas, terutama dengan tayar yang sensitif terhadap perubahan keseimbangan jentera.

“Tayar sangat sensitif terhadap keseimbangan kereta dan apabila keseimbangannya lebih baik, ia membantu menghasilkan masa pusingan yang lebih pantas. Di litar yang sangat panas, anda mahukan keseimbangan yang stabil dan konsisten, dan saya rasa kami semakin berjaya mencapainya sejak beberapa perlumbaan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Verstappen menegaskan kejayaan dalam sesi kelayakan bukan jaminan untuk perlumbaan, dengan suhu, brek dan degradasi tayar dijangka memainkan peranan penting.

Verstappen akan memulakan perlumbaan dari petak pertama dengan Lewis Hamilton di sebelahnya, manakala Hadjar yang layak di tempat ketiga akan turun lima petak susulan penalti grid.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.