
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Kerajaan menyasarkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan.
- Draf RUU AI telah disediakan dan kini sedang dikaji semula sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.
- Kerajaan menekankan perlunya mekanisme penguatkuasaan tersedia supaya peruntukan tadbir urus AI dapat dilaksanakan dengan berkesan.
- AI Malaysia Berhad menyediakan kertas berkaitan sementara JPDP dan NACSA boleh membantu aspek tadbir urus serta penguatkuasaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, draf RUU berkenaan telah disediakan dan kini sedang melalui proses kajian semula sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.
“Draf telah pun dikemukakan kepada saya. Ada beberapa perkara yang saya telah minta supaya dikaji semula. Perkara itu dalam proses dan saya harap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat untuk dibawa ke Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas sesi forum ‘Digital & AI: Reinviting the Economic Engine in the Age of Embedded Intelligence’ sempena Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, hari ini.
Gobind berkata, sekiranya RUU berkenaan dipersetujui Kabinet, ia akan dibentangkan di Parlimen dengan sasaran pada sesi suku pertama tahun depan atau selepas itu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memastikan mekanisme penguatkuasaan tersedia bagi membolehkan sebarang peruntukan berkaitan tadbir urus AI dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, agensi yang bertanggungjawab memantau dan menguatkuasakan peraturan berkenaan juga perlu diwujudkan selari dengan garis masa pembentangan RUU tersebut.
“Bila kita ada draf, kita kena pastikan bahawa apa yang kita nak kemukakan itu boleh dikuatkuasakan dan boleh juga dilaksanakan dengan baik.
“Oleh sebab itu, agensi-agensi yang diperlukan untuk tujuan tersebut juga perlu kita pastikan didirikan selari dengan had masa yang kita ada untuk bentangkan di Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata AI Malaysia Berhad yang baru ditubuhkan kini sedang menyediakan kertas berkaitan perkara berkenaan.
Beliau berkata institusi sedia ada seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) juga boleh membantu dalam aspek tadbir urus serta penguatkuasaan AI.