Kepimpinan cemerlang Mohamad Amar raih Tokoh Siswa Negara 2026

Mohamad Amar Aidid Mohd Zain Tokoh Siswa Negara 2026

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menerajui Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025, berkhidmat sebagai ahli Senat dan Ketua Penerangan MPPK menunjukkan kepimpinan cemerlang.
  • Latar belakang keluarga B40 menjadi pendorong utama beliau berkhidmat kepada rakan, komuniti, universiti dan negara.
  • Memimpin Kempen Solidariti Mangsa UPSI Nahas Gerik mengumpul bantuan sebanyak RM290,651.51.
  • Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) raih Anugerah Sinergi Kepimpinan; anjur lebih 650 program, manfaat kepada 195,000 peserta.

Kejayaannya diraih berdasarkan daya kepimpinan cemerlang beliau semasa menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM bagi sesi 2024/2025, selain peranannya sebagai ahli Senat UUM serta Ketua Penerangan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Beliau yang berasal daripada keluarga B40 menyifatkan latar belakang kehidupan yang serba kekurangan menjadi pendorong utama untuk dirinya memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat, universiti dan negara.

“Ketika pertama kali melangkah ke universiti, saya melihat tanggungjawab untuk membantu rakan-rakan yang memerlukan, khususnya daripada keluarga B40. Saya sendiri membesar dalam keluarga sebegitu dan memahami cabaran yang mereka hadapi.

“Saya lahir dan dibesarkan dalam denyut nadi mahasiswa daripada keluarga sebegitu, jadi saya telah berjanji kepada diri sendiri untuk berkhidmat sepenuhnya kepada masyarakat, universiti dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026, di sini.

Anak kelima daripada enam beradik itu membesar dengan bimbingan ibu tunggal selepas pemergian bapanya pada tahun 2012.

Antara pencapaian kejayaan terbesar beliau termasuk memimpin Kempen Solidariti Mangsa UPSI Nahas Gerik yang berjaya mengumpulkan dana bantuan sebanyak RM290,651.51.

Sementara itu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa, yang mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan berpasukan serta sumbangan berimpak tinggi kepada mahasiswa, komuniti dan negara.

Pengiktirafan tersebut didorong oleh pencapaian KMUKM menganjurkan lebih 650 program yang memberi manfaat kepada lebih 195,000 peserta, selain kejayaan meraih tajaan berjumlah RM748,807.50.

Wakil KMUKM, Mohamad Zikrul Safwan Roslan menyifatkan kejayaan itu sebagai penghargaan kepada kebersamaan seluruh mahasiswa.

“Saya kira ini merupakan satu petanda baharu, satu gerakan baharu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika ini. Kemenangan anugerah ini merupakan satu penghargaan kepada Kesatuan serta kebersamaan semua mahasiswa di UKM,” jelasnya.

Terdahulu, Majlis ATSN 2026 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ATSN 2026 merupakan platform pengiktirafan tertinggi negara kepada mahasiswa dan badan pelajar yang mempamerkan kecemerlangan kepimpinan, akademik serta sumbangan berimpak tinggi kepada komuniti dan negara.

Dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaku tuan rumah, ATSN 2026 adalah penjenamaan semula Anugerah Tokoh Siswa yang diperkenalkan sejak 2012.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.