
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Peluang beraksi bersama barisan bekas bintang Liga Perdana Inggeris dan pemain antarabangsa dalam Perlawanan AllStar Legends, Sabtu ini, menjadi pengalaman istimewa buat bekas pertahanan Manchester United, Danny Simpson.
- Simpson tekankan tiga elemen penting untuk pemain muda: keinginan tinggi, kerja keras dan kesediaan memperbaiki kelemahan.
- Pengalaman di Manchester United ajar bahawa kejayaan dibentuk bukan hanya aksi perlawanan tetapi juga persaingan latihan, disiplin dan komitmen harian.
- Kehadiran legenda antarabangsa di Malaysia membuka peluang peminat tempatan menyaksikan aksi pemain terkenal secara langsung.
Simpson berkata perlawanan itu turut memberi peluang kepadanya untuk berkongsi padang dengan pemain yang pernah menjadi idolanya ketika zaman kanak-kanak, termasuk Steven Gerrard, Michael Owen dan David Bentley.
“Bagi saya, satu penghormatan dapat berkongsi padang dengan pemain-pemain seperti mereka. Begitu juga dengan pasukan lawan yang dibarisi Dida dan Del Piero, yang pernah saya saksikan beraksi di televisyen ketika saya masih kecil.
“Ketika Manchester United memenangi treble pada 1999, saya baru berusia 12 tahun. Jadi, saya fikir perlawanan ini akan menjadi satu acara yang cukup menarik untuk semua yang hadir.
“Saya lihat semua pemain berada dalam keadaan baik dan cergas. Namun, sebaik sahaja perlawanan bermula, semangat persaingan pasti akan muncul kerana kami semua mahu memenangi perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan senarai bintang bola sepak dan trofi rasmi menjelang Perlawanan Allstar Legends di sini, hari ini.
Simpson berkata kehadiran legenda bola sepak dari pelbagai negara di Malaysia turut membuka ruang kepada peminat tempatan untuk menyaksikan aksi pemain terkenal secara langsung tanpa perlu ke luar negara.
Dalam perkembangan sama, beliau menekankan tiga elemen penting yang perlu dimiliki oleh pemain muda yang berhasrat mencapai tahap antarabangsa, iaitu keinginan tinggi, kerja keras dan kesediaan memperbaiki kelemahan.
Jelasnya, bakat semata-mata tidak mencukupi kerana pemain perlu sentiasa mengenal pasti aspek permainan yang boleh dipertingkatkan.
Beliau mengambil contoh Cristiano Ronaldo ketika di peringkat awal kariernya bersama Manchester United yang menurutnya sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.
Pengalaman bersama Manchester United turut mengajarnya bahawa kejayaan tidak hanya ditentukan menerusi aksi pada hari perlawanan.
Simpson berkata pengalamannya di Manchester United turut mengajarnya bahawa pembangunan seorang pemain bukan hanya bergantung kepada prestasi ketika perlawanan, sebaliknya turut dibentuk menerusi persaingan dalam latihan, disiplin dan komitmen harian.
Sementara itu, Simpson memuji perkembangan bola sepak Malaysia menerusi pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT), khususnya kejayaan pasukan itu mengekalkan dominasi dalam saingan tempatan serta rekod cemerlang di laman sendiri.