MIHAS 2026: Jualan RM6.78 bilion, lepasi sasaran awal RM5 bilion

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 29 September – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 merekodkan nilai jualan sebanyak RM6.78 bilion, sepanjang empat hari penganjurannya bermula 23 hingga 26 September lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai jualan naik RM730 juta berbanding 2025 dan melepasi sasaran awal RM5 bilion.
  • MIHAS membuka peluang kepada PKS untuk menembusi pasaran luar.
  • MATRADE komited memperkasa PKS dan syarikat peringkat pertengahan bagi pengembangan operasi ke pasaran global, termasuk pasaran baharu.
  • Integrasi Agentic AI menjadikan MIHAS ekosistem pemudah cara perdagangan yang lebih saling berhubung dan dipacu teknologi digital.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), nilai jualan meningkat RM730 juta berbanding RM6.05 bilion pada 2025, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan pada RM5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, MIHAS 2026 membuktikan bahawa platform tersebut bukan sahaja berkembang dari segi nilai jualan, malah mewujudkan peluang bagi perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran luar.

Katanya, agensi itu kekal komited untuk memperkasa PKS dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) bagi mengembangkan operasi ke pasaran global, terutamanya pasaran baharu muncul dan pasaran bukan tradisional.

“Menerusi integrasi kecerdasan buatan berasaskan ejen (Agentic AI), MIHAS sedang berkembang menjadi ekosistem pemudah cara perdagangan lebih saling berhubung dan dipacu oleh teknologi digital.

”Ini membantu syarikat Malaysia mengenal pasti bakal pembeli, membina hubungan perniagaan yang bermakna serta meneroka peluang eksport baharu di luar ruang pameran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acara berkenaan turut menghimpunkan pempamer dan pembeli Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dari 58 negara, sekali gus memperkukuh jangkauan antarabangsa serta daya tarikan MIHAS sebagai platform perdagangan halal global.

Jelas agensi itu, INSP berjaya menjana RM4.02 bilion, berbanding RM3.63 bilion pada tahun 2025, meningkat sebanyak RM394.5 juta.

Dalam pada itu, pameran MIHAS merekodkan kira-kira RM1.99 bilion, meningkat sebanyak RM103.9 juta berbanding RM1.89 bilion pada 2025.

“Peningkatan tersebut disumbangkan antaranya oleh produk makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia, mencerminkan kepelbagaian produk halal yang diketengahkan di MIHAS,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut MATRADE, MIHAS 2026 menarik 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada edisi tahun lalu, tertinggi sejak acara itu diperkenalkan pada 2004.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.