
KUALA LUMPUR, 29 September – Kementerian Pengangkutan akan mengambil peranan sebagai agensi peneraju tunggal dalam urusan kelulusan lesen bunkering dan permit berkaitan, berkuat kuasa 1 Februari 2027.
- Penyelarasan bersama kementerian, jabatan dan agensi bagi memperincikan proses kelulusan lesen bunkering.
- Tempoh kelulusan permit dijangka dipendekkan daripada berbulan-bulan kepada beberapa minggu.
- Pendekatan ini tidak menjejaskan bidang kuasa agensi, sebaliknya menyatukan proses melalui satu saluran untuk memudahkan industri.
- Langkah bertujuan memperkukuh daya saing, sasaran menjadi hab bunkering Asia Pasifik menjelang 2030 dan memajukan bunkering hijau termasuk LNG, biofuel, metanol.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penyelarasan itu sedang diperincikan bersama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan proses kelulusan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Sebelum ini, permit bunkering mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga tujuh bulan untuk diluluskan. Kita menjangkakan ia dapat dipendekkan kepada beberapa minggu,”katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Maritime Week (MMW) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, pendekatan berkenaan tidak menjejaskan bidang kuasa agensi terbabit, sebaliknya menyatukan proses permohonan melalui satu saluran bagi memudahkan penggiat industri.
“Kita tidak mengambil alih bidang kuasa mereka tetapi cuba mengintegrasikan proses. Kelulusan masih dalam bidang kuasa mereka, tetapi kita memprosesnya melalui satu saluran supaya lebih mudah untuk syarikat dan sektor swasta,”katanya.
Menurut Anthony, langkah berkenaan merupakan antara usaha Malaysia memperkukuh daya saing sektor bunkering, selaras sasaran negara untuk muncul sebagai hab bunkering Asia Pasifik menjelang 2030.
Dalam masa sama, Malaysia turut mempergiat pembangunan ekosistem bunkering hijau dengan meneroka penggunaan bahan api marin lebih bersih, termasuk gas asli cecair (LNG), biofuel dan metanol.