Pemansuhan syarat ekuiti IPS tidak jejas agenda perkasa Bumiputera

Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 26 September – Pemansuhan syarat minimum 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) tidak akan menjejaskan agenda pemerkasaan Bumiputera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pendidikan memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera tidak lagi syarat bagi syarikat sendirian berhad pengendali IPS.
  • Keputusan dibuat selepas perbincangan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
  • Menteri tekankan pemerkasaan Bumiputera melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 dan pelaksanaan ikut bidang kuasa kementerian berkaitan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu perlu dilihat secara positif bagi meningkatkan keupayaan Bumiputera untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya juga telah terangkan bagaimana kita memperkasa Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35). Apa-apa kaedah pemerkasaan tidak boleh dilihat sebagai mengecilkan peluang ekonomi ataupun memberi kesan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026, di sini, hari ini.

Pada 21 September lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian itu.

Keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan antara KPM serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Mengulas perkara itu, Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan dan tindakan berkaitan syarat ekuiti IPS terletak di bawah kementerian berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Perkara itu telah dijelaskan oleh kementerian berkenaan. Sudah pasti, setiap kementerian sebagai pelaksana bertanggungjawab terhadap perkara yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.