
GOMBAK, 26 September – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 sebagai usaha membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan masyarakat.
- Penguatkuasaan tegas: hampir 16,000 kompaun atau notis dikeluarkan terhadap kesalahan membuang sampah.
- Denda RM2,000 hingga RM10,000 dan perintah khidmat masyarakat bagi pembuangan sampah seperti puntung rokok dan tisu.
- Penglibatan lebih 10,000 sekolah, murid sebagai ejen perubahan, sasaran 200,000 peserta dan 28,000 kg barangan kitar semula.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata usaha tersebut turut diperkukuh menerusi tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah.
“Setakat Hari Kebangsaan, kita telah mengeluarkan hampir 16,000 kompaun atau notis kesalahan. Mereka yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil akan dikenakan hukuman,” katanya.
Nga berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan HCM 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan individu yang membuang sampah seperti puntung rokok dan tisu di jalan raya atau ke dalam longkang boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000, selain perintah khidmat masyarakat.
Nga berkata pendekatan itu penting bagi memastikan amalan menjaga kebersihan sebati dalam kehidupan masyarakat, selaras usaha membentuk negara yang bersih dan maju.
Sementara itu, KPKT turut melibatkan lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara bersempena HCM 2026.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr. M Noor Azman Taib berkata murid sekolah mampu menjadi ejen perubahan membawa amalan kebersihan dari sekolah ke rumah.
“Merekalah yang akan balik ke rumah dan akan menegur kita ibu bapa kalau kita buang sampah merata-rata. Bila anak-anak kita tegur, kita akan rasa lebih penting.
“Maka akhirnya menjadi satu budaya masyarakat yang Malaysia boleh mencapai bersih, sihat, dan lestari,” katanya.
Menurut beliau, sasaran itu turut diperkukuh menerusi penglibatan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, membabitkan kira-kira 7,700 sekolah rendah dan lebih 2,000 sekolah menengah.
HCM 2026 menyasarkan penyertaan 200,000 peserta di seluruh negara, selain pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula bagi mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records.