Maritim Malaysia perkukuh keupayaan penguatkuasaan serantau menerusi TCTP-IMIC 2026

Foto Facebook Maritim Malaysia

KUANTAN, 25 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kedudukannya dalam aspek keselamatan perairan serantau menerusi penganjuran Third Country Training Programme – International Maritime Interdiction Course (TCTP-IMIC) 2026 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dianjurkan bersama Kementerian Luar dan JICA untuk memperkukuh kerjasama serta sokongan antarabangsa dalam latihan penguatkuasaan maritim.
  • Melibatkan 11 pegawai dari tujuh negara bagi perkongsian ilmu, pengalaman operasi dan amalan terbaik penguatkuasaan.
  • Latihan teori, praktikal dan Final Simulation Exercise meningkatkan kemahiran penggeledahan, perundangan dan prosedur penguatkuasaan serta reputasi pusat kecemerlangan.

Program antarabangsa yang berlangsung dari 14 hingga 25 September itu dianjurkan bersama Kementerian Luar (KLN) dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Kursus berkenaan menghimpunkan seramai 11 pegawai penguat kuasa dari tujuh negara iaitu Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Sri Lanka, Timor-Leste, Thailand dan Yaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata penganjuran program ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi perkongsian ilmu, pengalaman operasi serta amalan terbaik penguatkuasaan.

“Keselamatan maritim memerlukan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara agensi penguat kuasa. Melalui TCTP-IMIC 2026, kita memperkukuh kemahiran peserta dalam aspek penggeledahan, perundangan dan prosedur penguatkuasaan supaya setiap tindakan di lapangan dapat dilaksanakan secara tepat, selamat, berkesan dan beretika,” katanya menerusi Facebook rasmi agensi berkenaan.

Foto Facebook Maritim Malaysia

Sepanjang dua minggu kursus dijalankan, para peserta didedahkan dengan sesi teori, latihan praktikal serta Final Simulation Exercise (SIMEX) yang dianjurkan di jeti dan kapal KM SEBATIK di Jeti Zon Maritim Kemaman.

“Modul pengisian dikendalikan oleh pegawai Maritim Malaysia menerusi Mobile Team Training (MTT) yang diketuai Leftenan Komander Maritim Nurul Hanin Md Isa bersama tenaga pengajar Japan Coast Guard (JCG),” jelasnya.

Selain latihan teknikal, delegasi antarabangsa turut dibawa melawat ke beberapa lokasi bersejarah dan kebudayaan tanah air termasuk Istana Negara dan Pasar Seni di Kuala Lumpur serta A Famosa, Melaka.

Majlis perasmian penyerahan sijil disempurnakan dengan kehadiran Presiden Perwakilan JICA Ueda Daisuke; Penasihat Formulasi Projek JICA Maeda Hiroshi; Pengarah AMSAS Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun serta Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sumber Manusia Diana Sim Siew Geok.

Penganjuran TCTP-IMIC 2026 ini membuktikan keupayaan Maritim Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dan pembangunan kapasiti penguatkuasaan maritim peringkat antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada kestabilan perairan serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.