
MELAKA, 24 September -Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan penjawat awamnegeri itu bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak bermakna tanggungjawab kepada rakyat turut terhenti.
- Pentadbiran harian, penyampaian perkhidmatan dan urusan kebajikan mesti terus berjalan teratur mengikut undang-undang, peraturan dan tatakelola.
- Penjawat awam perlu memastikan perkhidmatan tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus dipelihara sehingga kerajaan negeri baharu terbentuk.
- Barisan Nasional belum memulakan rundingan kerjasama untuk PRN; rundingan akan diadakan dan keputusan akan dimaklumkan kemudian.
Sebaliknya beliau berkata, pentadbiran harian kerajaan, penyampaian perkhidmatan awam serta urusan kebajikan rakyat mesti terus berjalan dengan teratur berlandaskan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang dikuatkuasakan.
Katanya, dalam tempoh ini, tanggungjawab penjawat awam adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus dipelihara sehingga terbentuknya kerajaan negeri yang baharu.
Beliau berkata, kepimpinan boleh berubah mengikut proses demokrasi, tetapi amanah perkhidmatan awam tidak pernah terhenti.
Ini kerana disebalik setiap peralihan pentadbiran, terdapat penjawat awam yang memastikan negeri terus berfungsi, dan rakyat terus mendapat perkhidmatan terbaik.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Bandaraya Melaka.
Pada majlis berkenaan seramai 41 pesara, serta waris kepada lapan orang pegawai yang meninggal dunia sewaktu dalam perkhidmatan diraikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka memaklumkan parti itu belum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Bagaimanapun, beliau berkata rundingan berkenaan pasti akan diadakan dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan kemudian.
“Rundingan akan mula apabila saya menerima panggilan daripada pihak berkaitan. Pasti, pasti ada.
“Mungkin minggu depan, mungkin esok, mungkin malam ini, saya tidak tahu. Rundingan tetap mesti ada dalam tempoh ini dan jangan risau, apabila ada rundingan, pasti ada keputusan,” katanya.