Tindakan RoS gantung aktiviti PN bukan dibuat sewenang-wenangnya

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/Foto BERNAMA

TANJUNG MALIM, 24 September – Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan yang diterima susulan beberapa kepincangan yang dikesan dalam gabungan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan 1966, berdasarkan tanggungjawab RoS menjaga kepentingan ahli.
  • Ahmad Zahid menasihatkan parti komponen menghadapi situasi dengan tenang terutama menjelang PRN Melaka dan PRU.
  • Jika penggantungan berterusan, parti gabungan boleh menggunakan lambang masing-masing untuk bertanding.
  • RoS mengeluarkan perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A); ia bukan pembatalan pendaftaran dan memberi ruang untuk penjelasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan penggantungan tersebut diambil di bawah Akta Pertubuhan 1966 berasaskan tanggungjawab RoS untuk menjaga kepentingan anggota pertubuhan yang berdaftar serta mengikut undang-undang tubuh organisasi.

“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam PN yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menasihatkan parti-parti komponen dalam gabungan itu agar menghadapi situasi berkenaan dengan tenang, terutamanya ketika persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita harap perkara ini dihadapi dengan tenang, terutamanya parti-parti yang bergabung dalam PN di Melaka dan PRU. Tentunya mereka mempunyai perancangan tersendiri. Jika penggantungan ini diteruskan, parti-parti gabungan itu boleh menggunakan lambang masing-masing untuk bertanding,” katanya.

Beliau turut menegaskan Akta Pertubuhan 1966 digubal bagi melindungi kepentingan ahli dan RoS menggunakan budi bicara berlandaskan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan berasingan telah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa semalam (23 September).

Menurutnya, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September 2026.

“Perintah penggantungan berkenaan bukanlah satu keputusan pembatalan pendaftaran PN.

“Langkah itu sebaliknya bertujuan memberi ruang dan peluang kepada gabungan politik tersebut untuk memberikan penjelasan berhubung aduan yang diterima,” jelas RoS lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.