Harga minyak mentah dunia jatuh untuk hari keempat berturut-turut

Gambar hiasan / Foto fail AFP

NEW YORK, 22 September – Harga minyak mentah dunia jatuh untuk hari dagangan keempat berturut-turut pada Isnin, didorong kebimbangan yang semakin reda terhadap gangguan bekalan susulan ketegangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • WTI bagi penghantaran Oktober susut US$4.52 atau 4.51 peratus kepada US$95.78 setong di New York Mercantile Exchange.
  • Brent bagi penghantaran November turun US$3.53 atau 3.4 peratus kepada US$100.34 setong di London ICE Futures Exchange.
  • Kedua-dua penanda aras ditutup pada paras terendah sejak 9 September.
  • Aliran minyak melalui Selat Hormuz meningkat dan harapan diplomatik AS-Iran sempena UNGA meredakan kebimbangan gangguan bekalan.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Oktober susut US$4.52 atau 4.51 peratus kepada US$95.78 setong di New York Mercantile Exchange.

Minyak mentah Brent bagi penghantaran November pula turun US$3.53 atau 3.4 peratus kepada US$100.34 setong di London ICE Futures Exchange.

Kedua-dua penanda aras itu ditutup pada paras terendah sejak 9 September.

Penurunan harga berlaku ketika pasaran melihat tanda-tanda peningkatan aliran minyak melalui Selat Hormuz serta harapan terhadap perkembangan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini.

Presiden AS, Donald Trump pada Ahad berkata, Washington berhubung secara berterusan dengan kumpulan Houthi di Yaman, yang menurutnya bersetuju untuk tidak memerangi AS.

Trump turut berkata, beliau terbuka untuk bertemu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di luar sidang UNGA di New York.

Menurut Pengarah Strategi Komoditi TD Securities, Ryan McKay, eksport melalui Selat Hormuz meningkat secara beransur-ansur, dengan aliran dari rantau Asia Barat kini sekitar 80 peratus daripada paras sebelum perang.

Beliau berkata, tanpa peningkatan ketara dalam konflik, Iran mungkin kehilangan sebahagian pengaruhnya ke atas Selat Hormuz.

Bagaimanapun, McKay memberi amaran keadaan keselamatan di rantau itu masih tidak menentu dan boleh meningkat secara mendadak, dengan pasaran minyak masih dipengaruhi pelbagai faktor yang memberi tekanan berbeza terhadap harga.

Sementara itu, saluran paip East-West Arab Saudi dijangka menyambung semula operasi secara berperingkat dalam beberapa hari akan datang.

Saluran paip itu membawa minyak mentah dari kawasan pengeluaran di timur Arab Saudi ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah, sekali gus menyediakan laluan alternatif yang tidak melalui Selat Hormuz.

Arab Saudi sebelum ini menutup saluran paip berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga selepas beberapa serangan berlaku di kawasan Riyadh dan Madinah. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.